Tambang ECRL perlu kekal, mampu dinikmati rakyat

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tambang ECRL perlu kekal, mampu dinikmati rakyat

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mempertimbangkan pakej tambang khas keluarga dan menetapkan had maksimum tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan kemudahan itu mampu dinikmati golongan berpendapatan rendah, terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, tambang permulaan RM125 sehala bagi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu mungkin munasabah dari sudut kos operasi, ke­selesaan dan penjimatan masa, namun kemampuan sebenar pengguna juga perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, kos tiket bagi keluarga empat orang boleh mencecah RM1,000 untuk perjalanan pergi dan balik, tidak termasuk perbelanjaan lain se­perti pengangkutan ke stesen dan makanan.

“Bagi golongan B40, RM125 seorang sehala bukanlah jumlah yang kecil, terutama apabila melibatkan perjalanan bersama keluarga.

“Sekiranya kos terlalu tinggi, pengguna berpendapatan rendah mungkin terpaksa memilih pengangkutan lain atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak sebelum ini berkata, kira-kira 1.4 juta penumpang disasarkan menggunakan perkhidmatan ECRL setahun bermula 2027 dengan anggaran kadar pengisian sebanyak 60 peratus pada peringkat awal operasi.

Menurut Saravanan, sistem tambang dinamik yang berubah mengikut permintaan perlu mempunyai kawalan, ketelusan dan perlindungan pengguna yang jelas bagi mengelakkan kenaikan harga keterlaluan ketika permintaan meningkat.

Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penetapan had maksimum tambang yang munasabah, khususnya bagi kelas ekonomi, selain menyediakan kuota tiket pada harga berpatutan ketika musim perayaan.

Katanya, pakej perjalanan keluarga yang menawarkan kadar lebih rendah berdasarkan bila­ngan ahli keluarga juga boleh dikaji bagi mengurangkan beban perbelanjaan pengguna. – UTUSAN

The post Tambang ECRL perlu kekal, mampu dinikmati rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved