
Tambat Hati Tetamu Dengan Resipi Udang Galah Cili Kering
Menu yang mengandungi udang sebagai bahan utama sering menjadi tumpuan tidak kira di mana sekalipun. Berikutan rasanya yang manis secara semula jadi dan tekstur isinya yang lembut, udang menjadi kegemaran ramai. Apatah lagi jika ada yang kupaskan.
Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, udang dihidangkan sama ada sebagai masak lemak, sambal tumis dan kari. Setidaknya, udang goreng kunyit pun sudah cukup membuatkan tetamu kecur liur.
Kali ini, SK ingin membawakan satu kelainan untuk para pembaca. Resipi yang diajarkan oleh Selvakumar Arunasalam hanya memerlukan bahan-bahan yang sememangnya ada di dapur rakyat Malaysia dan diolah menjadi hidangan yang jarang ditemui.
Menerusi perkongsiannya di laman Facebook, Selvakumar berkongsi panduan memasak hidangan udang galah cili kering yang mudah untuk difahami dan diikut. Berikut merupakan bahan-bahan dan cara memasak hidangan ini.

Bahan-bahan
Untuk persiapan bahan, sediakan 1.5 kilogram udang galah, sedikit udang kering, 10 hingga 15 biji cili kering, dua bawang merah sederhana besar dan halia.
Anda juga perlukan lima hingga enam ulas bawang putih, sebiji tomato sederhana besar, kicap pekat, dua hingga tiga sudu makan sos cili dan bawang Holland. Daun sup boleh digunakan untuk hiasan.
Menurut lelaki berkenaan, kicap pekat boleh digantikan dengan sos karamel pekat (dark caramel).
Setelah siap semua bahan, mari kita mula memasak.
Cara memasak
Pertama sekali, perap udang galah dengan garam dan kunyit. Kemudian, goreng udang selama dua minit dan ketepikan.

Gorengkan pula cili kering menggunakan minyak yang sama.

Selepas beberapa ketika, angkat, kisar kasar dan ketepikan.

“Saya sarankan untuk tambah cili kering sebab saya buat versi tak pedas,” pesan Selvakumar.
Tumis sedikit udang kering, bawang merah yang sudah dihiris, halia dan bawang putih.

Kemudian, masukkan tomato yang dipotong dadu dan kicap pekat. Kacau sebati sebelum menuang sos cili.

Setelah itu, masukkan udang, cili kering yang telah dikisar menjadi emping cili. Kacau sedikit kemudian masukkan bawang Holland dan daun sup.

Tidak perlu kacau dengan lama, boleh terus tutup api dan hidangkan.
Selamat mencuba.
Sumber: Selvakumar Arunasalam
BACA: Musim Bubur Asyura Kembali, Ini Resipi Versi Utara Wajib Cuba
