Tampal jalan ala kadar, nyawa jadi taruhan

8 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tampal jalan ala kadar, nyawa jadi taruhan

Jalan raya yang dikorek untuk memberi laluan kepada projek pembangunan dan kemudahan baharu memang perlu, namun yang mengundang persoalan ialah keadaan jalan selepas kerja itu selesai.

Ini kerana ada sebahagian jalan yang diturap semula terlalu tebal sehingga wujud permukaan tar tidak sekata. Ada pula tampalan terlalu nipis seperti tidak cukup tar, sekali gus mudah pecah atau mendap.

Apa gunanya menutup lubang jika hasil tampalan menjadi bonggol, berlekuk dan tidak rata sehingga mencipta bahaya baharu kepada pengguna jalan raya.

Bagi pengguna kenderaan, terutamanya penunggang motosikal, keadaan itu bukan sekadar soal jalan nampak hodoh.

Permukaan jalan yang tidak rata boleh menyebabkan motosikal hilang kestabilan, terutama ketika melalui kawasan pada kelajuan tinggi atau ketika jalan basah.

Sedikit kesilapan atau hilang kawalan boleh mengundang kemalangan yang mungkin meragut nyawa.

Persoalannya, tidakkah kerja seperti ini mempunyai pemeriksaan kualiti sebelum kawasan itu dibuka kepada lalu lintas?

Jika kontraktor sudah menerima bayaran untuk melaksanakan kerja, sewajarnya kualiti hasil kerja turut diberikan perhatian, bukan sekadar memastikan lubang yang dikorek sudah ditutup.

Kecacatan itu sebenarnya boleh dilihat dengan mata kasar. Tidak perlu menunggu pakar kejuruteraan datang membawa peralatan canggih untuk mengetahui sesuatu tampalan itu tidak rata atau membahayakan.

Pengguna jalan yang melalui kawasan itu setiap hari pun mampu melihat perbezaannya.

Dalam banyak keadaan, tindakan pembaikan hanya dibuat selepas aduan dilaporkan kepada wakil rakyat atau pihak berkuasa, barulah kawasan itu diperiksa dan kontraktor diminta melakukan kerja pembetulan.

Pendekatan sebegini menimbulkan tanggapan bahawa pemantauan terhadap kerja kontraktor tidak dilakukan secara menyeluruh.

Sepatutnya, pemeriksaan bukan hanya dibuat selepas menerima aduan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses wajib sebelum projek dianggap selesai.

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang mengeluarkan permit atau memberi kelulusan kepada kerja pengorekan jalan juga mempunyai tanggungjawab besar.

Mereka bukan sahaja perlu memastikan kerja utiliti berjalan lancar, tetapi perlu memastikan keadaan jalan dikembalikan kepada tahap yang selamat untuk digunakan.

Kontraktor pula tidak seharusnya melihat kerja menampal semula jalan sebagai kerja sampingan yang boleh dilakukan secara ala kadar.

Mereka perlu memahami setiap meter jalan yang ditinggalkan dalam keadaan tidak sempurna berpotensi menjadi perangkap kepada pengguna apabila kawasan itu dilalui ribuan motosikal dan kenderaan setiap hari.

Justeru, sudah tiba masanya standard kerja penurapan semula jalan selepas projek utiliti diperkemaskan. Isu ini bukan mengenai keadaan jalan yang cantik atau tidak cantik, tetapi mengenai keselamatan dan nyawa.

Tampal jalan mungkin mengambil masa beberapa jam, tetapi kecuaian yang menyebabkan seseorang kehilangan nyawa tidak mungkin boleh ditampal semula.

The post Tampal jalan ala kadar, nyawa jadi taruhan appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved