
TAWAU: Projek tamu desa dilihat mampu memacu perkembangan ekonomi di kawasan Parlimen Kalabakan menerusi pembukaan platform berniaga yang lebih sistematik dan teratur untuk orang kampung khususnya pengusaha-pengusaha mikro.
Keyakinan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy kepada petugas media selepas merasmikan pembukaan operasi Tamu Desa Kampung Pasir Putih Blok C (TDKOPBC) pada Ahad.
“Tamu desa ini menerima peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Madani membangunkan ekonomi rakyat.
“TDKPPBC adalah projek perintis di Parlimen Kalabakan sekaligus model pembangunan ekonomi setempat,” katanya sambil mengesahkan dua lagi permohonan tamu desa turut diluluskan di tapak yang sudah dikenalpasti dan akan dibuka tidak lama lagi.
Andi Suryady berkata platform tamu desa itu antara agenda Kuskop di bawah Menterinya Datuk Ewon Benedick dalam menyediakan ruang berniaga yang kondusif bagi memperkasakan lagi usahawan-usahawan luar bandar.
Menurutnya TDKPPBC turut dirancang untuk dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, pejabat dan tandas serta mensasarkan penyertaan 50 pengusaha yang dibahagikan kepada 20 tapak berbumbung dan 30 tidak berbumbung.
“Untuk tempoh dua bulan pertama ini kita menawarkan kos sewa percuma kepada peserta atau pengusaha yang mengambil bahagian bagi memberi peluang kepada mereka berniaga tanpa beban kos sewa.
“Kita akan memantau perkembangan tamu desa ini yang menjadi tempat berkumpulnya pelbagai pengusaha yang diharap menjadi pusat tarikan baharu untuk warga berbelanja pada setiap hujung minggu”, katanya.
Beliau juga berharap pembukaan tamu desa itu akan menjadi alternatif kepada warga yang mahu mengelak daripada mengharungi kesesakan lalu lintas jika hendak berkunjung ke Tamu Ahad Sabindo di Bandar Tawau.
Pada masa sama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu itu mengakui satu kerugian sekiranya tapak TDKPPBC tidak dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti ekonomi yang berlanjutan sepanjang minggu.
“Kos pembukaan dan pelaksanaan TDKPPBC begitu besar jadi walaupun tamu desa ini pada asalnya dirangka diadakan seminggu sekali namun kita perlu melihat keperluan operasinya untuk dijalankan pada setiap hari”, katanya.
Mengulas lanjut jika masa operasi berniaga di tapak itu dapat dilanjutkan setiap hari tarikan kepada pengusaha-pengusaha kaki lima atau tepi jalan untuk turut mengambil bahagian di tamu terbabit dapat direalisasikan.
Berikutan itu orang ramai khususnya pengusaha-pengusaha setempat dipelawa menghubungi Pejabat Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Tanjung Batu jika berminat memohon tapak-tapak yang masih kosong.

