liza14/09/2026 - 15:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept – Tan Chong Motor Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) memeterai perjanjian induk selama tiga tahun dengan Perodua Sales Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan pengeluaran untuk projek kenderaan elektrik bateri (BEV) Perodua di Serendah.
Perjanjian itu ditandatangani pada 12 September 2026, susulan surat hasrat (LOI) yang diumumkan pada November 2025.
Di bawah perjanjian tersebut, TCMA akan menyediakan perkhidmatan salutan elektro-pemendapan dan proses mengecat, selain menyewakan satu barisan pemasangan khusus serta menyediakan perkhidmatan berkaitan untuk projek BEV Perodua.
Perjanjian itu bermula 1 Jun 2026 dan berlangsung selama tiga tahun, dengan Perodua mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama dua tahun lagi.
Skop Perkhidmatan TCMA Untuk Projek BEV
Pilihan lanjutan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tempoh awal tiga tahun berakhir.
Perodua akan membayar yuran perkhidmatan dan caj sewaan kepada TCMA bagi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan.
Perodua juga bertanggungjawab mendapatkan dan mengekalkan kelulusan kawal selia, kebenaran serta lesen yang diperlukan berkaitan pengeluaran BEV, selain memastikan peralatan projek diinsuranskan dengan sewajarnya.
Tan Chong Motor berkata projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Syarikat itu tidak mendedahkan nilai perjanjian berkenaan, manakala pelaksanaannya tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia.
Kerjasama itu menyusuli surat hasrat yang diumumkan sebelum ini dan membolehkan TCMA menyediakan kemudahan serta perkhidmatan pengeluaran bagi menyokong projek BEV Perodua di Serendah.- DagangNews.com


