liza09/09/2026 - 09:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Ni Hsin Group Bhd mahu memperbesarkan perniagaan kenderaan elektrik (EV) dengan memperluaskan pemasangan motosikal elektrik, menawarkan perkhidmatan pengeluaran kepada pengeluar lain serta menembusi pasaran luar negara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ni Hsin berkata langkah itu dibuat dalam usaha menjadikan EV sebagai sumber pendapatan baharu kumpulan.
Ni Hsin mahu bergerak lebih jauh daripada sekadar menjual motosikal elektrik sendiri dengan membangunkan keupayaan pemasangan untuk pihak ketiga serta memperluas aktiviti promosi, pemasaran dan pengedaran EV.
“Rancangan kepelbagaian perniagaan itu adalah berdasarkan operasi EV yang telah dijalankan sejak 2021 menerusi anak syarikat Kumpulan iaitu Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd dan EVSend Sdn Bhd,” katanya.
Namun, perniagaan EV Ni Hsin masih mencatat kerugian apabila merekodkan hasil RM1.43 juta dan kerugian bersih RM1.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Ni Hsin bagaimanapun melihat potensi pertumbuhan pasaran EV Malaysia sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan berkenaan dan mewujudkan satu lagi sumber pendapatan kepada kumpulan.
Perluas operasi pemasangan motosikal elektrik
Ni Hsin kini mengendalikan kilang pemasangan EV di Seri Kembangan, Selangor yang memasang motosikal elektrik menggunakan komponen separa siap dan komponen lengkap untuk pemasangan.
Antara model yang ditawarkan termasuk Ebixon Torq, Bold dan Kruz, selain TC Max dan CPX.
Kumpulan itu turut menyasarkan pelanggan korporat, pengendali armada dan institusi, khususnya syarikat yang menjalankan operasi logistik jarak dekat atau penghantaran peringkat akhir.
Pada masa sama, Ni Hsin sedang membangunkan keupayaan pengeluaran secara pengilang peralatan asal (OEM) bagi menarik pengeluar EV pihak ketiga.
Pada April 2026, Ni Hsin EV Tech memeterai perjanjian pembuatan secara kontrak dengan MARS Greentech Sdn Bhd untuk memasang beberapa model kenderaan elektrik dua roda.
Sasar pasaran luar, manfaatkan pertumbuhan EV
Ni Hsin turut meneroka kerjasama pemasangan tempatan secara eksklusif bagi motosikal elektrik lasak Surron dengan Chongqing Qiulong Technology Co Ltd yang berpangkalan di China.
Di luar negara, kumpulan itu memeterai memorandum persefahaman dengan Apex Ventures (Labuan) Ltd bagi mempromosi, memasarkan dan mengedarkan produknya termasuk EV, dengan Turkiye dan pasaran Timur Tengah menjadi sasaran awal.
Bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2025, EV menyumbang 11.07% kepada hasil kumpulan.
Pasaran EV Malaysia berkembang 104.1% pada 2025 dengan pendaftaran baharu meningkat kepada 57,236 kenderaan.
Pasaran itu dijangka berkembang 59.9% lagi pada 2026 kepada 91,527 kenderaan dan mencapai 274,401 kenderaan menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 36.8%.
Ni Hsin berkata cadangan kepelbagaian itu bagaimanapun berdepan risiko termasuk persaingan sengit, perubahan insentif kerajaan, perkembangan teknologi yang pantas, kebergantungan kepada pembekal dan rakan kongsi pihak ketiga serta keperluan mendapatkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang EV.
Cadangan berkenaan tidak dijangka memberi kesan serta-merta kepada pendapatan, aset bersih atau tahap hutang kumpulan dan hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan pemegang saham menerusi mesyuarat agung luar biasa.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama bagi cadangan tersebut. - DagangNews.com





