Tanah Jerlus: Semua Sisa Kumbahan Berakhir Di IWK Pantai Dalam – Fahmi

LocalEnvironment
27 Aug 2024 • 3:26 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Semua sisa kumbahan dari Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan berakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, sekaligus memberi harapan penemuan mangsa insiden tanah jerlus.

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beliau telah menerima taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan IWK.

Menurut Fahmi, taklimat tersebut juga disampaikan mengenai fungsi loji Pantai 1 dan Pantai 2 yang kedua-duanya menguruskan sisa kumbahan bagi 1.8 juta warga Kuala Lumpur.

Harapan mangsa tanah jerlus: Semua sisa kumbahan berakhir di IWK

image is not available

“Saya difahamkan semua sisa kumbahan akan berakhir di sini (IWK Pantai Dalam) dan tidak akan melepasi lokasi ini.

“Sebanyak 0.4 juta sisa kumbahan warga Kuala Lumpur diuruskan fasiliti ini (Pantai 1), manakala 1.4 juta lagi di fasiliti Pantai 2. Jadi memang akan berhenti di sini,” katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Fahmi juga berkata beliau dimaklumkan jarak lurang kumbahan di Jalan Masjid India hingga ke loji IWK Pantai Dalam adalah sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata dedikasi dari segi teknikal dalam operasi pencarian itu adalah lengkap.

image is not available

“Sebagai ahli Parlimen di sini, saya juga ambil maklum dan teliti mengenai kebajikan pasukan penyelamat,” ujarnya.

Terdahulu, seorang wanita warga India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjerlus ke dalam lubang yang mempunyai kedalaman kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India pada Jumaat.

Susulan itu, pasukan penyelamat telah memperluaskan operasi membabitkan enam lurang kumbahan di sekitar ibu negara iaitu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar dan Bulatan Kinabalu.

Sumber: Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)