
“SEJARAH bukan pertandingan untuk menentukan siapa yang datang dahulu. Sejarah ialah kisah bagaimana sebuah tamadun dibina, dipelihara dan diwariskan.”
Dari semasa ke semasa, perkataan pendatang kembali menghiasi perbincangan negara kita. Ia adalah satu istilah yang memecah-belahkan, melukakan dan sering kali menyederhanakan sejarah yang terbina selama berabad-abad. Mungkin selama ini kita telah mengemukakan soalan yang salah.
Daripada terus bertanya siapakah pendatang, mungkin lebih baik kita bertanya soalan yang lain: Apakah sebenarnya Tanah Melayu, dan siapakah yang membina tamadun yang memberikan nama itu kepadanya?
Sebagai umat Islam, kita bermula dengan satu hakikat yang jauh lebih besar daripada bangsa atau kewarganegaraan. Kita semua adalah anak-anak Nabi Adam dan Hawa.
Al-Quran mengingatkan Allah menciptakan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku bukan untuk saling bermegah-megah atau merasa lebih mulia antara satu sama lain tetapi supaya saling mengenali. Jika Nabi Adam ialah bapa kepada seluruh manusia, maka pada suatu ketika dalam sejarah, setiap keluarga manusia pernah berhijrah.
Tiada satu pun tamadun yang lahir di satu tempat lalu kekal tidak berubah selama-lamanya.
Bangsa Inggeris terbentuk daripada warisan Celt, Rom, Anglo-Saxon, Viking dan Norman. Tamadun China sendiri berkembang hasil pertemuan dan percampuran pelbagai bangsa selama ribuan tahun. Dunia Arab berkembang merentasi benua. Sejarah manusia pada hakikatnya ialah sejarah penghijrahan, pertemuan dan penyesuaian.
Demikian juga dunia Melayu.
Jauh sebelum lahirnya negara moden seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand, lautan menghubungkan kita, bukannya memisahkan kita.
Selat Melaka, Laut Melayu dan sungai-sungai di Semenanjung menjadi laluan utama sebuah tamadun. Manusia belayar, berdagang, berkahwin dan menetap. Masyarakat saling berhubung selama berabad-abad sehingga akhirnya membentuk apa yang hari ini kita kenali sebagai Alam Melayu.
Leonard Y. Andaya dan Barbara Watson Andaya menggambarkan masyarakat ini dengan begitu indah sebagai “daun-daun daripada pohon yang sama.” Daunnya mungkin berbeza, tetapi semuanya tumbuh daripada akar yang sama.
Hari ini kita mengenali diri sebagai Melayu, Aceh, Bugis, Minangkabau, Jawa, Banjar, Melanau, Bajau, Melayu Patani dan pelbagai lagi. Kita bertutur dalam pelbagai dialek, mengamalkan adat yang berbeza dan dalam sesetengah keadaan menganut agama yang berbeza. Namun sejarah mengingatkan masyarakat ini telah lama dihubungkan oleh bahasa, perdagangan, hubungan kekeluargaan dan tradisi politik yang sama.
Apabila menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) , saya mendapati dalam diri saya terdapat warisan dari seluruh Asia Tenggara, China dan Eropah. Orang lain pula mungkin menemui campuran yang berbeza.
DNA menceritakan sejarah manusia ialah penghijrahan dan perkahwinan campur. Namun DNA tidak mentakrifkan tamadun. Tamadun tidak dibina oleh kromosom tetapi oleh bahasa, undang-undang, ingatan sejarah dan institusi yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Sebab itulah saya percaya persoalannya bukanlah siapakah yang tiba terlebih dahulu.
Semenanjung Tanah Melayu telah menjadi tempat tinggal pelbagai komuniti sejak ribuan tahun dahulu, termasuk masyarakat Orang Asal yang sejarahnya juga merupakan sebahagian daripada sejarah tanah ini.
Persoalan sejarah yang lebih penting ialah tamadun apakah yang berkembang di bumi ini, bahasa apakah yang menyatukannya dan institusi apakah yang mengekalkannya?
Jawapannya bukan terletak pada slogan politik tetapi pada sejarah itu sendiri.
Bahasa Melayu menjadi lingua franca diplomasi, perdagangan dan pentadbiran di sebahagian besar Nusantara. Hukum Kanun Melaka dan kemudiannya Hukum Kanun Pahang membuktikan kewujudan satu tradisi perlembagaan yang begitu maju sehingga mengatur pemerintahan raja, para pembesar, pedagang dan rakyat jelata.
Ia bukan sekadar adat tempatan. Ia merupakan sistem undang-undang bertulis yang mempengaruhi kerajaan-kerajaan di seluruh rantau ini.
Tanah Melayu bukan sekadar sebidang tanah yang didiami oleh satu kaum. Tanah Melayu ialah pusat kepada sebuah tamadun. Seperti tamadun-tamadun agung yang lain, ia menerima pengaruh dari luar tanpa kehilangan jati dirinya.
Hukum Kanun Pahang sendiri menjadi bukti kepada proses ini, menggabungkan prinsip-prinsip fiqh Islam sambil mengekalkan adat Melayu serta tradisi perundangan terdahulu dalam kerangka perlembagaan Melayu yang tersendiri.
Pedagang datang lalu menetap. Para ulama datang lalu mengajar. Perkahwinan menghubungkan keluarga-keluarga merentasi kerajaan. Idea-idea baharu diterima tanpa mengorbankan bahasa, institusi dan tradisi perlembagaan yang menjadi asas kepada tamadun itu sendiri.
Mengiktiraf kemunculan tamadun Melayu bukanlah bererti masyarakat lain hanyalah tetamu di dalamnya.
Sebuah tamadun bukanlah sebuah rumah yang mempunyai seorang pemilik. Setiap tamadun agung dibentuk bukan sahaja oleh mereka yang mula-mula membangunkan institusinya tetapi juga oleh mereka yang datang, menetap, menyumbang dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kesinambungan sejarahnya.
Sesebuah tamadun tidak kekal dengan menyingkirkan orang lain tetapi dengan mewariskan bahasa yang sama, institusi yang dikongsi bersama dan rasa kebersamaan kepada generasi demi generasi.
Tamadun itu bukanlah suatu milik yang perlu dipertahankan daripada orang lain. Ia merupakan suatu usaha peradaban yang terbuka untuk disertai bersama.
Mungkin sebab itulah saya tidak pernah gemar melihat manusia dilabelkan mengikut kategori yang memisahkan mereka.
Sewaktu membesar di Johor, saya tidak pernah melihat masyarakat Orang Seletar yang keluar masuk ke rumah kami sebagai ‘orang lain’. Mereka memanggil ibu bapa saya “bapak” dan “emak”.
Mereka diterima sebagai sebahagian daripada keluarga kami, malah allahyarham ayahanda saya pernah bermalam di sampan mereka sambil mendengar kisah kehidupan mereka.
Bagi saya, mereka bukan orang asing. Mereka hanyalah orang kita. Tidak pernah sekalipun saya merasakan mereka berasal daripada dunia yang berbeza daripada dunia kami. Mereka tidak ditentukan oleh label tetapi hubungan yang terjalin antara kami.
Sejarah juga sebenarnya menceritakan hubungan, bukannya pemisahan. Masyarakat saling berhubung, berdagang, berkahwin dan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman. Ada yang hidup di sungai dan lautan.
Ada yang terus menetap di hutan. Ada yang membangunkan pelabuhan dan kerajaan. Bersama-sama, selama berabad-abad, mereka membentuk tamadun yang akhirnya dikenali sebagai Alam Melayu.
Maka marilah kita berhenti bertanya siapakah pendatang. Sebaliknya, marilah kita bertanya soalan yang lebih bermakna.
Bahasa apakah yang menyatukan rantau ini?
Undang-undang apakah yang mengatur kerajaan-kerajaannya?
Tamadun apakah yang memberikan identiti kepada bumi ini?
Jawapan kepada semua persoalan itu telah lama tertulis dalam manuskrip-manuskrip, sejarah dan tradisi perlembagaan kita.
Barangkali sudah tiba masanya kita membacanya semula.
Kerana selagi kita terus mengemukakan soalan yang salah, selagi itulah kita akan terus menerima jawapan yang salah.
Sejarah berhak menerima sesuatu yang lebih baik daripada sekadar slogan. Sejarah menuntut kejujuran, kerendahan hati dan keberanian untuk memahami tamadun yang telah membentuk kita semua.
Catatan Tambahan:
Terdapat suatu kebetulan sejarah yang menjadikan penerbitan artikel ini pada hari lahir saya, 5 Ogos, begitu bermakna. Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh raja-raja Melayu dan wakil Kerajaan British, sebelum berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957.
69 tahun kemudian, pada tarikh sama, renungan ini mengenai Tanah Melayu, tamadunnya dan warisan perlembagaannya diterbitkan. –UTUSAN
KEBAWAH Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ialah Calon Ijazah Sarjana, Ketua Perlembagaan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).
The post Tanah Melayu sebuah tamadun yang dikenang appeared first on Utusan Malaysia.





