Kerajaan Terengganu hulur RM15,000 ringankan beban remaja melecur dirempuh RXZ

4 Aug 2026 • 10:07 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan Terengganu akan menanggung keperluan semasa Ahmad Asyraf Talhah, 13, yang dianggarkan bernilai RM15,000 susulan kemalangan membabitkannya dengan sebuah motosikal Yamaha RXZ di persimpangan Buluh Gading, Manir, pada Jumaat lalu.

Image from: Kerajaan Terengganu hulur RM15,000 ringankan beban remaja melecur dirempuh RXZ

Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi Tabung Darul Iman (TDI) bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa sepanjang tempoh rawatan dan pemulihannya.

Beliau berkata, pegawai khasnya bersama wakil TDI telah diwakilkan untuk menziarahi keluarga mangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini selain mengenal pasti keperluan yang diperlukan, memandangkan beliau berada di luar kawasan atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, kehadiran wakil berkenaan adalah bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan mangsa, di samping menyampaikan sedikit sumbangan serta memberikan sokongan moral kepada ahli keluarganya.

“Kami mendoakan agar Ahmad Asyraf diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan dan rawatan.
“Saya mewakili kerajaan berharap keluarga berkenaan bersabar dalam menempuh dugaan yang berat ini dan kami menyeru segenap lapisan masyarakat memanjatkan doa buat keluarga berkenaan yang kini sedang ditimpa ujian berat,” katanya.

Maliaman turut memaklumkan bahawa sumbangan peribadi turut disampaikan kepada ibu mangsa, Syafirah Salim, 36, yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Image from: Kerajaan Terengganu hulur RM15,000 ringankan beban remaja melecur dirempuh RXZ

“Kerajaan negeri mendoakan mangsa dan ibunya yang hamil tujuh bulan dikurniakan kesihatan yang baik,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap bantuan yang disalurkan itu dapat membantu keluarga Ahmad Asyraf sepanjang proses rawatan dan pemulihan sehingga remaja berkenaan kembali sembuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi Jumaat lalu, Ahmad Asyraf mengalami kecederaan melecur hampir 60 peratus pada bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Yamaha RXZ.

Ketika kejadian, Syafirah dikatakan dalam perjalanan dari kediamannya di Kampung Tanjung Sabtu menuju ke Pasar Batu Enam bagi membeli barangan dapur.

Artikel lain: Tragedi RXZ Members: Fasiliti hospital boleh diganti, nyawa tiada galang ganti -Menteri Kesihatan

Insiden itu menyebabkan motosikal yang dinaiki ibu dan anak tersebut hangus terbakar, manakala motosikal Yamaha RXZ berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat terbakar kira-kira 80 peratus.

Ahmad Asyraf kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan masih ditidurkan bagi membolehkan prosedur pembersihan luka akibat melecur dijalankan.

Sumber: Harian Metro (Nazdy Harun)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved