Tanah Merah daerah pertama dilanda banjir, 4 PPS dibuka

LocalEnvironment
29 Dec 2024 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Arus deras di Kampung Keroh, Kuala Krai berikutan air sungai melimpah akibat hujan lebat bermula awal pagi Sabtu.

image is not available
Mangsa banjir yang mendaftar masuk ke PPS.

image is not available
Keadaan banjir di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah.

KOTA BHARU - Tanah Merah menjadi daerah pertama dilanda banjir pada gelombang ketiga Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan pada Ahad.

Susulan itu, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bermula jam 1.30 tengah hari.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 5.30 petang, seramai 71 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang, SK Kelewek, SK Gual Jedok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mohamad Yaakob.

Berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, setakat jam 4.15 petang Ahad, Sungai Golok di Kampung Jenob di daerah ini mencatatkan paras melebihi tahap amaran dengan bacaan 23.32 meter serta menunjukkan trend menaik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, pihak bomba keluar pada jam 2.40 petang bagi menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir di daerah itu bermula di Kampung Air Merah Batu Gajah.

“Mangsa-mangsa terjejas dibawa ke PPS untuk berlindung.

“Mereka yang terjejas ialah dari Kampung Bendang Nyior, Kelewek, Batu Gajah, Manal, bukit Sireh, Gual Ipoh, Batu 8 dan Batang Merbau,” katanya.

Dalam perkembangan sama di daerah Kuala Krai, sekumpulan guru dan pelajar sekolah dibantu orang ramai meredah arus deras di Kampung Keroh, Kuala Krai berikutan air sungai melimpah akibat hujan lebat bermula awal pagi Sabtu.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk meliputi kawasan Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan sehingga Isnin.