Tanah Perkuburan Berdekatan Pantai, 5 Jenazah Perlu Dikebumikan Semula Akibat Hakisan di Terengganu

LocalEnvironment
23 Nov 2024 • 4:18 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hakisan pantai telah menyebabkan Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di Kuala Nerus, Terengganu terjejas sehingga lima jenazah terpaksa dikebumikan semula.

Memetik laporan Berita Harian, lima jenazah tersebut terpaksa dikebumikan semula selepas jenazah-jenazah itu dihanyutkan ombak akibat hakisan pantai di kawasan tanah perkuburan itu.

Ini kerana tanah perkuburan terbabit terletak berdekatan kawasan pantai.

Difahamkan, kawasan tanah perkuburan itu sudah lama menghadapi masalah ancaman hakisan.

image is not available

Namun,kali ini beberapa kubur telah runtuh dan dihanyut dibawa ombak besar kerana berlakunya fenomena air pasang malam tadi.

Penduduk kampung menyedari bahawa terdapat beberapa kubur yang terjejas akibat hakisan dan air pasang besar sehingga ada batu nisan, serpihan kain kafan dan tulang jatuh ke dalam air laut.

Namun, jenazah dari kubur yang terjejas dapat diselamatkan, jadi jenazah-jenazah tersebut telah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Gong Walit, Mengabang Telipot pada hari ini.

image is not available

Difahamkan juga, lebih kurang 200 kubur di kawasan tanah perkuburan itu juga harus dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan lain kerana turut berdepan dengan risiko hakisan.

Menurut penduduk kampung, benteng telah pun dibina oleh pihak berkaitan namun disebabkan benteng yang dibina itu telah lama dan ombak yang terlalu kuat, ia tidak dapat menghalang ombak masuk ke kawasan tanah perkuburan.

Semoga dipermudahkan urusan keluarga waris untuk memindahkan kubur-kubur tersebut.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.