Tanah runtuh: 100 dikhuatiri tertimbus di tapak perkhemahan

16 Dec 2022 • 6:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Maklumat awal daripada pihak polis menganggarkan sekitar 100 orang mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkemahan awam yang terletak berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali awal pagi Jumaat.

Hulu Selangor - Sekitar 100 orang pengunjung dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkemahan awam yang terletak berhampiran dengan Father Organic Farm, Batang Kali di sini, awal pagi Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, jumlah mangsa berkenaan merupakan anggaran awal daripada pihak polis dipercayai terbabit dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu.

"Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 39 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas 1 ekar.

"Maklumat terkini sekitar jam 5 pagi, seramai 31 orang telah berjaya ditemui dan diselamatkan pasukan penyelamat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Norazam berkata, sebanyak tiga buah jentera termasuk unit anjing pengesan (K9) dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, dan beberapa balai lain telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa terlibat sedang giat dijalankan.