
SUNGAI BULOH - Sebanyak 22 mayat mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah dituntut oleh waris.
Jenazah ke-22 tersebut dilihat keluar menggunakan kenderaan Pusat Peringatan Nirvana pada jam 2.40 petang.
Oleh yang demikian, sehingga kini tujuh jenazah telah dituntut menjadikan dua lagi berbaki di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada Ahad.
Proses pengecaman mangsa juga difahamkan terus dilaksanakan dengan beberapa ahli keluarga mangsa dilihat masih hadir di Jabatan Forensik HSB.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor melibatkan 94 individu membabitkan 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Setakat jam 9 malam pada Sabtu, sejumlah 24 mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan daripada lokasi kejadian membabitkan lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).
Sementara itu, 61 mangsa telah diselamatkan manakala sembilan lagi masih tidak ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan sehingga kini.
