
SHAH ALAM, 11 NOV: Kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan di Persiaran Kosmos, Seksyen U5 di sini, hari ini menyebabkan struktur tembok penahan konkrit rosak dan sebahagian kawasan cerun terdedah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.55 pagi.
Menurutnya, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 10.12 pagi.
"Sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian pada jam 10.12 pagi dan mengesahkan berlaku runtuhan tanah berhampiran kawasan perumahan berkenaan.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggota bomba menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan itu selamat serta tidak membahayakan orang awam," katanya, lapor Harian Metro.
Gambar dikongsikan JBPM Selangor menunjukkan beberapa bahagian tembok penahan konkrit teranjak dan condong, selain bongkah binaan runtuh.
Runtuhan itu turut mendedahkan struktur tanah di bawah bangunan yang terletak di bahagian atas cerun berkenaan.
Serpihan runtuhan dan konkrit pecah dilihat bertaburan di sekitar kawasan terjejas, manakala sebahagian tembok penahan beralih daripada kedudukan asal.
Ashrul berkata, kes berkenaan sudah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, punca kejadian tanah runtuh serta tahap kerosakan struktur masih belum dikenal pasti.




