IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti 50 cerun berisiko di Perak yang diberi perhatian khusus bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 42 cerun telah dipulihkan, manakala lapan lagi masih dalam pemantauan.
Katanya, cerun yang telah dipulihkan itu melibatkan 13 di daerah Hulu Perak, 12 di Batang Padang, sembilan di Kinta, lima di Larut Matang dan Selama serta tiga di Muallim.
“Bagi tahun ini, Perak menerima peruntukan RM38.9 juta untuk kerja-kerja membaiki cerun runtuh di 42 lokasi di seluruh negeri.
“Selain itu, sebanyak RM24.9 juta turut disediakan bagi kerja-kerja penyenggaraan pencegahan cerun khususnya membabitkan lapan cerun berisiko yang masih dalam pemantauan di Hulu Perak (dua) dan Batang Padang (enam),” katanya selepas merasmikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kesiapsiagaan MTL di laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, pemantauan keadaan cerun perlu dilakukan secara berkala bagi mengesan tanda-tanda ketidakstabilan seperti rekahan, pergerakan tanah dan hakisan.
Katanya, sebarang petunjuk awal yang dikenal pasti perlu dinilai segera sebelum tindakan sewajarnya diambil bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini khususnya kepada pengguna jalan raya. – UTUSAN
The post 50 cerun berisiko di Perak dipantau hadapi MTL appeared first on Utusan Malaysia.






