Tanah runtuh: Dua blok pangsapuri di Taman United diarah dikosongkan

24 Nov 2025 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan di lokasi tanah runtuh di Taman United pada Isnin. Foto ihsan JBPM Kuala Lumpur.
image is not available
Dua kereta dan beberapa motosikal turut terjejas akibat kejadian tanah runtuh berkenaan. Foto ihsan JBPM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dua blok pangsapuri melibatkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh di sini diarahkan dikosongkan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran lokasi terbabit, pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Timbalan Penguasa Bomba II Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.02 pagi berkaitan runtuhan tanah cerun sepanjang kira-kira 60 meter.

"Dua kereta dan beberapa motosikal terjejas akibat kejadian terbabit. Runtuhan tanah tersebut telah memasuki kawasan pangsapuri berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3350089]**

Armdan berkata, hasil perbincangan di lokasi bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dua blok serta premis berhampiran diarahkan untuk dikosongkan.

"Ia berikutan masih terdapat pergerakan tanah dan keadaan cuaca yang sedang hujan lebat. Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

"Pihak bomba masih berada di lokasi bagi memantau sebarang pergerakan tanah," katanya.