Tanah runtuh: Satu lagi mayat ditemukan, angka korban kini 26

21 Dec 2022 • 12:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATANG KALI: Satu lagi mayat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini ditemukan hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam kenyataan di laman Facebook yang memetik sumber Pusat Pengurusan Operasi JBPM berkata satu mayat lelaki dewasa ditemukan pada pukul 11.16 pagi di sektor B (kem Farmview).

Kenderaan yang membawa mayat itu dilihat keluar dari lokasi pencarian pada kira-kira pukul 11.57 pagi.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat, daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.

JBPM hari ini memaklumkan pasukan mencari dan penyelamat akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 semalam yang dijumpai pada kedalaman ‘luar jangkaan’ iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside). - Bernama