
Siapa sangka, kalimah takbir ‘Allahu akbar!’ dalam laungan azan berkumandang sayu di tapak bencana kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada hari ini.
Laungan azan tersebut dilaungkan oleh salah seorang anggota bomba dipercayai sebagai ikhtiar bagi ‘mengiringi’ operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa yang masih hilang.
Seperti yang dikongsikan di laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, laungan azan tersebut dilihat bergema memecah keheningan suasana sunyi hutan dan tapak bencana itu.
Jika melihat video berkenaan, apa yang menyentuh hati adalah apabila lensa kamera dihalakan ke arah kawasan tapak bencana yang ‘pilu’ diteroka jentera sambil laungan azan dikumandangkan.


Difahamkan hari ini merupakan hari keenam operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh dijalankan oleh badan-badan pasukan penyelamat yang ditugaskan.
Difahamkan juga, JPBM Selangor pada hari ini menumpukan pencarian di sektor C dan Sektor B selain unit K9 digerakkan mencari mangsa yang masih belum dijumpai.
“Bantuan jentera seperti excavator turut digunakan bagi menggali tanah dan dialihkan bagi mencari petunjuk kedudukan mangsa,” memetik kenyataan.

Hari ini juga, media melaporkan pasukan penyelamat menjumpai satu lagi mayat mangsa insiden tanah runtuh menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.
Dalam pada itu, JBPM Selangor juga memaklumkan pasukan SAR akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian.
Video laungan azan tersebut boleh ditonton di bawah.
Sumber: Bomba Selangor
The post Tanah Runtuh: Sayu, ‘Abang Bomba’ Laung Azan Ikhtiar Cari Mangsa Hilang appeared first on Siakap Keli.


