Baja terlambat, keringat pesawah jadi taruhan

LocalEnvironment
11 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baja terlambat, keringat pesawah jadi taruhan
Pesawah melihat sawah padi yang masih menunggu baja tambahan di Alor Mengkudu, Alor Setar.

SEBAGAI anak jati Kedah, sawah padi atau bendang dalam bahasa orang utara bukan sesuatu yang asing bagi penulis.

Ketika kecil, sesekali penulis mengikut arwah ayah dan mak ke bendang, melihat mereka membanting tulang mengerjakan sawah termasuk menanam anak padi, meracun dan melakukan pelbagai kerja lain.

Ketika itu, penulis mungkin belum benar-benar memahami betapa beratnya pekerjaan tersebut, tetapi apabila dewasa barulah terasa bahawa setiap butir padi yang sampai ke pinggan sebenarnya melalui keringat pesawah.

Hakikatnya, menjadi pesawah bukan kerja mudah kerana menuntut masa, tenaga, modal dan kesabaran tinggi, selain bergantung kepada perkara yang tidak semuanya berada dalam kawalan mereka.

Kedah bukan sekadar negeri jelapang padi, tetapi antara nadi penting kepada sekuriti makanan negara.

Di sebalik hamparan sawah yang menghijau dan akhirnya menguning sebelum dituai, ada keringat pesawah yang memastikan makanan ruji rakyat terus tersedia di atas meja.

Ketika negara berdepan cuaca panas dan fenomena El Nino, pesawah sebenarnya tidak duduk diam, sebaliknya mereka terus menggunakan kudrat, masa dan wang mengusahakan sawah.

Lebih menyentuh hati, ada dalam kalangan mereka yang sudah berusia, namun masih membanting tulang di bendang kerana itulah sumber pendapatan dan kehidupan mereka.

Apabila timbul isu kelewatan bekalan Baja 3 (tambahan) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) baru-baru ini, perkara itu sewajarnya menjadi pengajaran penting kepada semua pihak.

Isu 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Mada masih belum menerima Baja 3 menimbulkan kebimbangan hasil padi musim ini.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, kelewatan itu membimbangkan kerana baja diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif iaitu antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.

Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan pesawah tidak sepatutnya menjadi mangsa dalam isu berkenaan.

Justeru, arahan Perdana Menteri supaya proses pembekalan dikaji semula dan disiasat juga perlu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan masalah seumpama itu tidak berulang.

Apa yang lebih penting, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar kelewatan, termasuk jika terdapat kelemahan dalam proses pembekalan, pemantauan atau pengurusan kontrak.

Jika ada kelemahan, perbaikilah, manakala jika ada kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Dalam masa sama, nasib pesawah sudah menanggung kerugian juga tidak boleh dilupakan memandangkan mereka sudah mengeluarkan modal, menghabiskan masa dan tenaga serta mengharapkan hasil tuaian untuk meneruskan kehidupan.

Jadi, jangan sesekali kita melihat pesawah sebagai golongan yang malas atau tidak bersungguh-sungguh hanya kerana hasil tidak seperti yang diharapkan.

Kadangkala mereka sudah melakukan yang terbaik, sekali gus yang perlu diperbaiki mungkin bukan usaha mereka, tetapi sistem yang sepatutnya membantu mereka.

Ingatlah, apabila pesawah terbela dan mampu menghasilkan padi dengan baik, yang menikmati manfaatnya bukan mereka seorang, sebaliknya kita semua.

*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved