Tanaman bawang Perak diperluas di beberapa lagi daerah

LocalBusiness & Finance
1 Jun 2025 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir merasmikan FAMA Fest 2025 @ Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini. Foto Bernama

GOPENG - Perak akan memperluas tanaman bawang merah kecil BAW-1 atau dikenali sebagai Bawang Perak di beberapa daerah yang dikenal pasti mempunyai kesesuaian untuk menanamnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara daerah berkenaan ialah Kuala Kangsar, Muallim, dan Perak Tengah selain Kampung Ladang Bikam, Sungkai di daerah Batang Padang yang telah memulakan penanaman bawang sejak tahun lepas.

"Kita akan menyediakan kawasan baharu yang memenuhi kriteria dan keperluan tanaman bawang sebab ia perlu ditanam di atas tanah yang subur dan menghasilkan bawang yang baik.

"Itu penting sebab Bawang Perak ini didapati sedap dan manis, jadi ia memberi tarikan kepada pembeli.

"Setakat ini, empat daerah dikenal pasti sesuai untuk penanaman bawang dan kita akan memperluas ke beberapa daerah lagi," katanya pada sidang media selepas merasmikan FAMA Fest 2025 @ Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam pada itu, Saarani berkata pengeluaran Bawang Perak pada tahun lepas berjaya mencatatkan sejumlah 12.4 metrik tan membabitkan kawasan penanaman seluas sembilan hektar.

Terdahulu, Arthur dalam ucapannya berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 juta bagi memperluas kawasan penanaman Bawang Perak pada tahun ini.

Arthur berkata pengeluaran Bawang Perak yang pertama di negara yang dijalankan secara komersial hasil usaha kolaboratif antara Jabatan Pertanian Perak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) satu pencapaian amat membanggakan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved