
PEMAIN beregu campuran negara, Chen Tang Jie mengakui saingan musim ini tidak berjalan seperti diharapkan apabila berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, termasuk kecederaan yang menimpa pasangannya, Toh Ee Wei.
Tang Jie mengakui, dia memerlukan sedikit masa untuk menerima keadaan tersebut, ditambah pula ketiadaan ketua jurulatih, Nova Widianto yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan kebangsaan dan pulang ke Indonesia.
Walaupun berdepan dengan situasi tidak menentu, namun pemain berusia 28 tahun itu hanya mahu memberikan sepenuh fokus kepada diri sendiri bagi memastikan corak permainan dapat ditambah baik.
“Tahun ini banyak perkara yang berlaku, jadi kalau cakap tidak ada ganggu, itu tidak betul. Untuk menerima keadaan seperti ini memang memerlukan sedikit masa, terutamanya (ketua) jurulatih kita pun sudah tukar.
“Memang mahu gunakan masa yang ada untuk hadam semua ini, tetapi sebagai pemain profesional, ia bergantung pada diri sendiri. Saya perlu cari jalan apa yang boleh dibuat untuk jadi lebih baik,” katanya.
Sebagai rekod, Ee Wei berdepan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika beraksi di kejohanan Terbuka Singapura Mei lalu dan dia kini sedang menjalani proses pemulihan di Melbourne, Australia.
Sementara itu, Tang Jie juga sedia untuk bekerjasama dengan ketua jurulatih baharu yang akan diumumkan kelak selepas Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengesahkan pihaknya sudah menemui pengganti Nova.
The post Tang Jie akui 2026 musim paling mencabar appeared first on Kosmo Digital.

