
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, gagal mengulangi kejayaan suku akhir edisi tahun lepas apabila disingkirkan oleh beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024, di sini , hari ini.
Walaupun memberikan tentangan hebat dalam set pertama, namun ia tidak mencukupi bagi pasangan nombor sembilan dunia, Tang Jie dan Ee Wei, yang akhirnya terpaksa akur kepada Midorikawa-Saito, 22-24, 14-21 pada aksi selama 42 minit di Axiata Arena di Bukit Jalil,
Tang Jie mengakui lawan mereka adalah lebih hebat dan beraksi dengan baik.
Pada saingan suku akhir esok, Midorikawa-Saito akan berdepan dengan pasangan senegara,Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang menyingkirkan Mathias Thyrri-Amalie Magelund dari Denmark 21-15, 21-11.
Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tewas di tangan gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerayyanchai 15-21, 12-21 sekali gus turut gagal melangkah ke peringkat suku akhir.
“Ia ada hari yang malang...semuanya tidak menjadi, malah lawan menampilkan prestasi terbaik,” kata Shevon.
Dechapol-Sapsiree akan menentang pasangan Singapura, Terry Hee Yong Khai-Jessica Tan, yang mengesahkan slot suku akhir dengan menewaskan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand, 21-14, 23-21.
Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei gagal meneruskan saingan ke suku akhir apabila tewas di tangan wakil, Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung 15-21, 22-24.
Jin Wei, 23, mengakui prestasinya di bawah tahap sebenar dan mengakui bahawa lawannya itu mengendalikan mata penting dengan baik yang membawa kepada penyingkirannya.
“Saya tidak berpuas hati dengan prestasi hari ini, masih banyak kerja yang perlu dilakukan, terutamanya untuk meningkatkan motivasi diri dan mengurangkan kesilapan,“ katanya.
Pilihan kedua Chen Yu Fei menanti Gregoria di suku akhir selepas pemain China itu menewaskan bekas juara dunia Ratchanok Intanon dari Thailand, 21-15, 21-18. -Bernama
