Tangan diikat kepala ditutup kain, mayat wanita ditemui mereput dalam tandas

25 Aug 2026 • 7:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tangan diikat kepala ditutup kain, mayat wanita ditemui mereput dalam tandas
Lokasi kejadian wanita warga emas dibunuh dalam sebuah rumah di di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan.
Image from: Tangan diikat kepala ditutup kain, mayat wanita ditemui mereput dalam tandas
Lokasi mayat mangsa ditemukan membusuk selepas beberapa hari dibunuh dalam kejadian di di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan.

SANDAKAN - Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun dipercayai dibunuh sebelum mayatnya yang sudah mereput ditemukan dalam tandas sebuah rumah kayu dua tingkat di Tanah Merah, Jalan Leila di sini pada Selasa lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas bau busuk dari sebuah rumah kayu dua tingkat membawa kepada penemuan mayat mangsa berusia 62 tahun dalam keadaan mereput di dalam tandas.

Kedua-dua tangan mangsa ditemukan diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup menggunakan kain dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu termasuk dua suspek utama dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk dari rumah berkenaan.

"Penemuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.

**media[3625427]**

"Mayat mangsa ketika ditemukan sudah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum itu," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

Katanya, 10 individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 39 tahun.

Daripada jumlah itu, tiga merupakan warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.

George berkata, hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.

"Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka.

"Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dilarikan suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved