Bau Busuk Jadi Petunjuk, Polis Temui Mayat Wanita Berikat

25 Aug 2026 • 12:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bau Busuk Jadi Petunjuk, Polis Temui Mayat Wanita Berikat

SANDAKAN - Bau busuk yang datang dari sebuah rumah di Tanah Merah, Jalan Leila, membawa kepada penemuan mayat seorang wanita berusia 62 tahun yang dilaporkan hilang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah mereput di dalam tandas rumah berkenaan, dengan kedua-dua tangannya diikat ke belakang manakala kepalanya ditutup menggunakan kain.

Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu termasuk lima wanita dan tiga warga Filipina. 

Dua daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek utama kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung bau busuk yang datang dari sebuah rumah kayu dua tingkat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis kemudian melakukan pemeriksaan di rumah itu kira-kira jam 8.45 malam Rabu lalu sebelum menemukan mayat mangsa di dalam tandas.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia selama beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.

“Polis berjaya membuat tangkapan dalam tempoh kurang 24 jam. Keseluruhannya, 10 individu ditahan dan dua daripadanya dikenal pasti sebagai suspek utama,” katanya.

George berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan bayaran kerja-kerja pengubahsuaian serta rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa, selepas wanita itu menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang mereka diami.

Beliau berkata kesemua 10 suspek yang ditahan mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Polis jelasnya, turut merampas sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain beberapa barangan peribadi milik mangsa yang telah diambil oleh suspek.

“Siasatan mendapati semua suspek mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.

“Kita turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian, iaitu sebatang kayu, selain beberapa barangan peribadi milik mangsa yang telah diambil,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 25 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved