Tangani Aspek Keselamatan, Benarkan Konsert Houghton Diteruskan - Salleh

LocalMusic
30 Sep 2026 • 2:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KOTA KINABALU - Isu keselamatan berhubung konsert penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton di Sabah perlu ditangani secara bijaksana dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membatalkan acara berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Salleh Said Keruak berkata, pandangan pihak polis berhubung risiko keselamatan perlu diambil serius, namun pada masa sama kepentingan serta sensitiviti masyarakat setempat juga harus diberi perhatian.

Beliau berkata demikian susulan saranan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun supaya konsert Houghton bersama kumpulannya, Israel & New Breed, ditangguhkan berikutan kebimbangan mengenai pendirian penyanyi itu terhadap Israel.

Salleh Said Keruak - Gambar fail
Salleh Said Keruak - Gambar fail

Menurut Salleh, sekurang-kurangnya dua laporan polis telah dibuat berhubung penganjuran konsert berkenaan. 

Penganjur juga katanya, dilaporkan sudah mula mempromosikan acara itu sebelum dokumen yang diperlukan dikemukakan.

“Sabah selama ini dikenali dengan toleransi beragama serta kehidupan aman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Tradisi ini perlu kita pelihara,” katanya hari ini.

Salleh yang juga pemimpin UMNO berkata, sekiranya aspek keselamatan dapat dikawal dan diuruskan dengan baik, usaha sewajarnya adalah memastikan konsert itu berlangsung dalam keadaan aman serta bertanggungjawab.

Beliau turut menekankan bahawa Houghton mempunyai pengikut dalam kalangan komuniti Kristian di Sabah, justeru perkara itu juga perlu diambil kira dalam mempertimbangkan penganjuran acara berkenaan.

Houghton, yang pernah memenangi lapan anugerah Grammy, dijadual mengadakan persembahan di Sabah pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, tarikh sebenar konsert itu masih tidak jelas apabila terdapat perbezaan maklumat mengenai tarikhnya.

Hantaran di laman media sosial Israel & New Breed menyatakan konsert itu akan berlangsung pada 22 Oktober, manakala maklumat dalam tangkap layar daripada sebuah platform penjualan tiket menyatakan tarikh 25 Oktober. - Getaran, 30 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved