Tangani ketidakpatuhan cukai, formalkan ekonomi bayangan kukuhkan kedudukan fiskal Malaysia – Amir Hamzah

30/09/2025 - 16:15
Gambar: premiatnc.com
KUALA LUMPUR 30 Sept - Menangani isu ketidakpatuhan cukai dan membawa ekonomi bayangan ke dalam sektor formal merupakan langkah kritikal bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara selain memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kutipan cukai yang berkesan akan membekalkan kerajaan dengan sumber fiskal yang diperlukan bagi mewujudkan kerangka kewangan yang stabil dan boleh dijangka untuk perniagaan beroperasi.
“Menangani ketidakpatuhan cukai dan ketidakcekapan sistemik adalah penting untuk mengukuhkan persekitaran kewangan korporat negara dan meluaskan asas cukai, termasuk membawa ekonomi bayangan ke sektor formal,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Corporate Finance Law in Malaysia.
Beliau berkata, perluasan asas cukai akan menyokong usaha meningkatkan kelestarian fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani, sekali gus membolehkan perniagaan beroperasi dalam persekitaran yang menggalakkan pelaburan, inovasi dan pertumbuhan mampan.
Amir Hamzah turut menekankan, kewangan korporat akan memainkan peranan penting dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam mewujudkan pembiayaan jangka panjang untuk pelaburan strategik dalam infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan industri bernilai tinggi.
Beliau berkata, Malaysia terus mendahului rantau ini dari segi jumlah tawaran awam permulaan (IPO) setakat tahun ini. Sehingga 30 September 2025, Malaysia merekodkan 41 IPO berbanding 35 dalam tempoh sama tahun lalu, yang berjaya mengumpul kira-kira RM4.36 bilion dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM22.31 bilion.
“Pencapaian ini menyerlahkan kekuatan sistem pengumpulan dana awam negara, yang terus menarik pelabur meskipun berdepan cabaran global seperti ketegangan geopolitik, risiko tarif dan turun naik pasaran,” katanya.
Beliau juga merujuk kepada Akta Tanggungjawab Fiskal 2023, bersama-sama Rangka Kerja Fiskal Sederhana dan Strategi Hasil Sederhana sebagai tonggak panduan untuk memperkukuh pengurusan berhemat serta akauntabiliti dalam kewangan awam.
“Reformasi itu penting bukan sahaja untuk membina keyakinan dan menggembleng modal, tetapi juga bagi menjamin daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.- DagangNews.com
standard

