Tangguh Aktiviti Luar Jika Suhu Lebih 35 Selsius - KPM

LocalHealth & Fitness
25 Mar 2026 • 4:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Semua sekolah seluruh negara dinasihatkan agar menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Selsius.

Jurucakap Kementerian Penddidikan (KPM) berkata, pengurusan sekolah juga diminta memantau rapi aktiviti yang mungkin mendedahkan pelajar kepada haba berlebihan untuk menjaga kesihatan mereka.

Menurut beliau, semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu  memperkukuh kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai sebagai tindak balas terhadap cuaca panas, terutamanya apabila sesi persekolahan disambung semula Ahad dan Isnin depan. 

“Semua sekolah harus memastikan bekalan air minuman bersih yang mencukupi dan menggalakkan pelajar kekal terhidrat secukupnya, bagi membantu mengawal suhu badan,” katanya.

Jelas jurucakap itu, semua sekolah berasramq turut dinasihatkan menyediakan air minuman kepada pelajar jika keadaan menjadi kritikal dan tiada sumber alternatif yang tersedia.

“Mereka juga diminta terus berwaspada sambil bekerjasama rapat dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan berkaitan haba dalam kalangan pelajar.

“Pihak pengurusan sekolah juga telah diberi budi bicara untuk membenarkan pelajar, guru dan kakitangan sokongan memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas, bergantung kepada keperluan dan keadaan setiap institusi,” katanya. 

KPM tambah beliau, menekankan bahawa semua institusi pendidikan harus sentiasa peka terhadap keadaan haba semasa di kawasan masing-masing dan mematuhi garis panduan ditetapkan dari semasa ke semasa.

Berdasarkan kalendar akademik, sekolah Kumpulan A yang meliputi Kedah, Kelantan dan Terengganu mula bercuti pertengahan penggal dari 20 Mac hingga 28 Mac, manakala negeri Kumpulan B yang terdiri daripada Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bercuti dari 21 Mac hingga 29 Mac. - Getaran, 25 Mac 2026