
Sekolah Diminta Tangguh Aktiviti Luar Jika Suhu Melebihi 35 Darjah Celcius - KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta supaya setiap institusi pendidikan KPM untuk membuat persediaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal 1.
Oleh itu, institusi pendidikan di bawah KPM diminta agar setiap langkah-langkah awal dilaksanakan.
"Insitusi perlu menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah celsius dan memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas," ujar KPM.
Seterusnya, KPM juga menasihatkan agar bekalan air minuman bersih di institusi pendidikan bawah KPM mencukupi dan galakkan juga murid-murid membawa air minuman sendiri.
"Di samping itu, galakkan juga serta nasihat murid untuk mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan," tambah KPM lagi.
Baca juga:
Saintis Beri Amaran Iklim Tak Seimbang, El Nino Dijangka Catat Suhu Lebih Tinggi
Cuaca Panas Melampau 2026: Elak Strok Haba Sebelum Terlambat
Bukan itu sahaja, KPM juga menasihatkan sekolah untuk membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
Akhir sekali, KPM menasihati agar sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
KPM juga menasihatkan agar semua institusi di bawahnya sentiasa peka dengan situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
"Pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing," tambah KPM lagi.
KPM juga mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.

