
ISU aktivis wanita yang dikatakan sertai misi kemanusiaan selepas berkahwin terus menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat, terutama di media sosial.
Perkara itu turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya atau PU Syed yang tampil berkongsi pandangan secara terbuka mengenai situasi berkenaan.
Menerusi perkongsian PU Syed di laman sosial Instagramnya berkongsi pendiriannya berkaitan isu penyertaan wanita dalam misi Sumud.
"Saya tidak berkesempatan untuk menyertai misi Sumud. Kepada sahabat-sahabat yang terpilih menyertai Sumud 2.0, saya ucapkan tahniah dan didoakan selamat berjuang.

"Isu peserta misi dalam kalangan wanita pula, bagi pandangan saya yang sudah berkahwin ini, jika isteri saya sertai misi Sumud dan menyebabkan mereka turun ke medan secara langsung, seperti belayar dan sebagainya, saya tidak akan benarkan untuk isteri menyertainya.
"Ini kerana tanggungjawab isteri kepada suami dan anak-anak adalah lebih besar. Apatah lagi untuk menjaga banyak perkara di luar sana khasnya waktu dalam permusafiran yang mana para ulama ada membahasnya dengan panjang lebar," kongsinya.
Dalam pada itu, peserta Pencetus Ummah Musim ketiga itu juga tidak menolak penglibatan mereka dalam perjuangan berkenaan sudah pasti sudah diberikan pertimbangan sewajarnya.
"Apa pun, saya yakin, sukarelawan yang menyertai misi terbaharu itu juga telah mengkaji isu-isu berbangkit ini.
"Marilah kita doakan agar urusan mereka dipermudahkan dan ALLAH membantu misi yang mulia ini.
"Kata-kata adik kami, PU Rahmat yang masih bujang itu mungkin hanya berseloroh kepada netizen, walaupun sekali baca dan imbas nampak ganas. Saya doakan dia bertemu jodoh di sana nanti," titipnya.
Terdahulu, PU Rahmat menerusi laman sosial Threads menjawab persoalan warganet berkaitan pemergian aktivis wanita yang memudaratkan biarpun mendapat keizinan daripada suami.
Dalam pada itu, pemilik Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 33, memberi pendapat peribadi bahawa jika mempunyai isteri, dia akan membenarkan wanita itu menyertai misi kemanusiaan atas alasan kukuh.

"Korang tak nak benarkan isteri korang join Sumud tu hak korang. Korang nak simpan bini dalam rumah dan layan Netflix sampai 100 episod pun silakan.
"Cuma jangan halang Nadzmi Adhwa benarkan Ardell berjuang. Jangan halang potensi wanita menjadi hebat disisi ALLAH.
"Kalau ada bini nanti, aku suruh dia kawan dengan Ardell. Tidaklah aku bagi kawan dengan bini kau," kongsinya.
PU Rahmat bagaimanapun kemudian memohon maaf jika perkongsiannya sebelum ini disalah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.
"Saya memohon maaf jika ada yang salah paham dan terasa. Saya tidak menafikan wanita yang duduk di rumah untuk mencapai syurga.
"Hanya saya menegaskan jika kalian tidak mahu isteri kalian berjuang . Maka silakan namun jangan dipaksa Adhwa melarang Kak Ardell ke sumud.
"Tiada lain niat melainkan mahu wanita muslimah dibenarkan berjihad. Sekali lagi saya mohon maaf. Kita kembali fokus kepada G4z4 kerana G4z4 adalah cerita utama," kongsinya.
Terdahulu, pelakon Ardell Ariana, Haroqs, Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi antara delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF). Mereka dijadual berlepas ke G4z4 dari Barcelona pada 10 serta 12 April ini.
Sementara itu, PU Rahmat pula dalam misi 30 Kontena Malaysia ke G4z4.
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), membabitkan sebanyak 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membela nasib warga Palestin di G4z4.


