Boleh wanita sertai misi berisiko? Ini jawapan Mufti Perlis terhadap kenyataan PU Rahmat- 'Niat baik, tapi ayat kurang sesuai'

LocalOpinion
8 Apr 2026 • 9:31 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PERSOALAN tentang peranan wanita dalam misi kemanusiaan yang berisiko sering menimbulkan perdebatan.

Baru-baru ini, perhatian tertumpu kepada kenyataan pendakwah PU Rahmat yang menegaskan wanita juga layak menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Isu itu mencetuskan pelbagai reaksi, ada yang menyokong, ada pula yang kurang setuju.

Tampil menjelaskan hal tersebut, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menekankan keputusan membenarkan wanita, sama ada isteri atau anak perempuan, terlibat dalam operasi berisiko, adalah bergantung kepada pertimbangan individu dan keluarga.

Namun, beliau menegaskan, segala keputusan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati, mengambil kira keselamatan, maruah, dan kesesuaian situasi.

“Sesiapa yang membenarkan isteri atau anak perempuannya pergi ke sesuatu operasi berisiko, ia satu penilaian yang ada alasannya.

"Namun, keselamatan dan harga diri wanita mesti diutamakan,” jelas Mohd Asri.

Beliau menambah, lelaki perlu sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak mereka, khususnya yang perempuan.

image is not available

Jika keadaan memerlukan khidmat wanita, penyertaan mereka boleh dilakukan, sebagaimana sahabat wanita pada zaman Nabi SAW yang terlibat dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu. Segala pengorbanan sebegini adalah satu pahala.

Selain itu, keizinan suami dan kesesuaian operasi dari sudut fizikal dan mental wanita perlu dipertimbangkan. Jika semua syarat ini dipenuhi, maka wanita boleh menyertai operasi tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut menegur pandangan segelintir pihak yang merendahkan wanita yang terlibat dalam misi berisiko, menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak wajar.

Isteri disimpan di rumah

Menurutnya, sebarang kenyataan yang menganggap wanita yang tidak menyertai misi kemanusiaan sebagai 'isteri yang hanya disimpan di rumah' adalah tidak tepat.

“Asal wanita memang dilindungi di rumah oleh suami atau wali. Mereka tidak didedahkan kepada bahaya tanpa keperluan. Malah, hadis menggalakkan solat di rumah jika kehadiran di masjid berisiko,” tambah beliau.

Mohd Asri juga menyeru semua pihak agar menilai isu sebegini dengan ilmu dan hikmah, bukan emosi semata-mata.

image is not available

Dalam semangat memperjuangkan yang benar, imbangan pengetahuan dan pertimbangan syarak perlu diutamakan.

Beliau menambah, niat PU Rahmat untuk menyeru wanita tidak disekat dalam misi kemanusiaan adalah baik, namun pemilihan kata yang kurang tepat telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Saya percaya niat PU Rahmat baik, cuma cara penyampaian agak kurang sesuai. Semua pihak tidak perlu mengecam,” kata Mohd Asri menerusi satu hantaran di Facebook miliknya. 

 PU Rahmat baru-baru ini berkongsi hantaran dengan meminta orang ramai menghormati peranan wanita dalam misi kemanusiaan dan mempertahankan keputusan Nadzmi Adhwa yang membenarkan isterinya, Ardell Aryana, menyertai misi ke Gaza. Perkongsian tersebut menimbulkan kecaman dan tidak kurang ada yang bersetuju dengan pempengaruh tersebut.