Tangisan Qaseh Aulia tidak pernah padam - Ibu bapa

LocalFamily & Parenting
6 Apr 2026 • 2:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ibu Qaseh Aulia, Maisarah Rosli (kiri) dan bekas pengasuh Mulyati.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tangisan Qaseh Aulia Faizul masih terngiang, walaupun bayi perempuan berusia tiga bulan itu meninggal dunia akibat kecuaian seorang pengasuh di sebuah taska, tiga tahun lalu.

Bapa, Faizul Ali Adam berkata, dia dan isteri, Maisarah Rosli masih menziarahi pusaranya hampir setiap hari.

Katanya, tiada niat membalas dendam, tetapi mereka hanya mahu mendapatkan keadilan untuk anak perempuan mereka.

Pasangan suami isteri berusia 36 tahun itu berkata, hukuman penjara selama lima tahun terhadap bekas pengasuh itu, Mulyati Kalim, 54, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada mereka.

"Kami tahu, hukuman ini tidak mampu mengembalikan nyawa anak kami, tetapi ia akan menjadi peringatan kepada masyarakat khususnya pengusaha taska supaya lebih bertanggungjawab ketika menjaga bayi dan kanak-kanak.

"Kami mahu menuntut bela atas kejadian yang menimpanya," kata Faizul ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Sementara itu, Maisarah mengakui, kehilangan anak sulung yang dinantikan sejak lima tahun melangsungkan perkahwinan, masih dirasai sehingga kini.

Walaupun menyedari arwah anaknya tidak mendengar ucapannya di pusara setiap hari, dia berkata, itu sahaja cara mahu mengubati kerinduan.

"Saya berharap insiden ini menjadi titik perubahan supaya pihak berkaitan lebih serius dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak di taska.

"Saya tak mahu ibu bapa lain melalui perasaan kehilangan yang sama, kerana sudah tiga tahun kami tidak dapat melihat dia membesar.

Susulan itu katanya, mereka akan memfailkan saman sivil menerusi Tetuan Megat Iqbal & Co, terhadap pengusaha taska terbabit bagi memastikan tanggungjawab dipikul sepenuhnya.

Pada Isnin, Mulyati dihukum penjara selama lima tahun kerana cuai ketika menjaga bayi tersebut di sebuah taska, tiga tahun lalu.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh memerintahkan wanita warga Indonesia itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM5,000.

Mahkamah juga mengarahkan Mulyati melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

Pada Oktober 2023, bayi perempuan berusia dua bulan dan 26 hari maut ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini.

Kejadian itu berlaku pada hari kedua Qaseh Aulia dihantar ke taska berkenaan.