PETALING JAYA – Tangisan Qaseh Aulia Faizul masih terngiang, walaupun bayi perempuan berusia tiga bulan itu, meninggal dunia akibat kecuaian seorang pengasuh di sebuah taska, tiga tahun lalu
Bapa, Faizul Ali Adam berkata, dia dan isteri, Maisarah Rosli berkata, mereka masih menziarahi pusaranya, hampir setiap hari.
Katanya, tiada niat mahu membalas dendam, tetapi cuba mendapatkan keadilan untuk anak perempuan mereka.
Pasangan suami isteri berusia 36 tahun itu berkata, hukuman penjara selama lima tahun terhadap bekas pengasuh itu, Mulyati Kalim, 54, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada mereka.
"Kami tahu, hukuman ini tidak mampu mengembalikan nyawa anak kami tetapi ia akan menjadi peringatan kepada masyarakat khususnya pengusaha taska supaya lebih bertanggungjawab ketika menjaga bayi dan kanak-kanak.
"Kami bukan mahu membalas dendam, sebaliknya mahu menuntut bela di atas kejadian yang menimpanya," kata Faizul ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Sementara itu, Maisarah berkata, mengakui kehilangan anak sulung yang dinantikan sejak lima tahun melangsungkan perkahwinan, masih dirasai sehingga kini.
"Saya berharap insiden ini menjadi titik perubahan supaya pihak berkaitan lebih serius dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak di taska.
"Saya tak mahu ibu bapa lain melalui perasaan yang kami lalui, kerana sudah tiga tahun kami tidak dapat melihat dia membesar," katanya sebak.
[MENYUSUL]

