Intel dijangka akan memperlihatkan cip pemprosesan kelas desktop akan datang mereka, Arrow Lake-S sekitar bulan September ataupun Oktober kelak. Tidak banyak butiran yang diketahui mengenainya, tetapi kini, satu tangkapan layar yang diperlihatkan oleh beberapa peniris terkenal nampaknya memberitahu kita butiran menarik mengenai penawaran akan datang Intel tersebut.

Tangkapan layar perisian CPU-Z ini memperlihatkan beberapa butiran yang cukup menarik, termasuklah namanya, yang dilihat sebagai Intel Core Ultra 9 285K, dan diketahui sebagai cip pemprosesan Arrow Lake-S yang paling berkuasa setakat ini.
Ia nampaknya juga hadir dengan kelajuan lewahjam setinggi 5.0GHz dan mempunyai jumlah penggunaan tenaga elektrik setinggi 125W. Sama seperti apa yang dilihat pada siri CPU Lunar Lake, teras Performance cip pemprosesan ini tidak hadir dengan ciri Hyper-Threading, jadi ia dilihat hadir dengan 24 teras dan 24 bebenang kuasa.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi sama ada Arrow Lake-S ini akan dibina oleh Intel ataupun TSMC. Saiz 7nm yang diperlihatkan pada tangkap layar menunjuk kepada ia dibina menggunakan proses Intel 4 (7nm), tetapi ia tidak dapat disahkan lagi.
