Tanpa penyokong, misi Selangor tetap membara

LocalFootball
9 Sep 2026 • 9:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tanpa penyokong, misi Selangor tetap membara

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) berdepan ujian mental dan fizikal dalam misi memburu tiket suku akhir Piala FA apabila turun menentang Sabah FC dalam aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Terikat 2-2 pada pertemuan pertama, Gergasi Merah kini perlu mencari jalan sendiri untuk memastikan kemaraan selepas permohonan mereka menangguhkan hukuman beraksi tanpa kehadiran penyokong ditolak Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) menerusi Emergency Sole Arbitrator, Isnin lalu.

Ketiadaan pemain ke-12 itu jelas menambah cabaran buat Selangor, namun ia tidak seharusnya menghakis keyakinan skuad kendalian Kim Pan Gon yang hanya memerlukan kemenangan untuk memastikan tiket ke kelompok lapan terbaik berada dalam genggaman.

Selangor juga terpaksa berdepan Sabah dalam tempoh persiapan yang singkat susulan jadual padat, sekali gus menguji kemampuan pemain mengekalkan tahap kecergasan serta intensiti permainan pada tahap terbaik.

Pan Gon bagaimanapun enggan menjadikan kepadatan jadual sebagai alasan untuk pasukannya gagal mencapai sasaran, sebaliknya menuntut anak buahnya lebih bijak mengurus tenaga dan memberi keutamaan terhadap proses pemulihan.

“Sukar untuk saya terima jadual sebegini. Demi melindungi pemain dan memberikan persembahan terbaik buat penonton, pemain sepatutnya mendapat rehat secukupnya pada masa-masa tertentu.

“Namun, inilah realiti yang perlu kita hadapi. Kita benar-benar perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan serta komunikasi yang baik bagi merancang perlawanan seterusnya,” katanya.

Gergasi Merah bagaimanapun mempunyai sebab untuk turun dengan keyakinan selepas mencatat permulaan positif musim ini apabila masih belum merasai kekalahan dalam empat aksi kompetitif.

Tiga kemenangan dalam saingan Liga Super menjadi suntikan moral buat skuad Pan Gon, namun pengendali dari Korea Selatan itu sedar momentum sahaja tidak mencukupi dalam perlawanan kalah mati yang menuntut ketelitian sepanjang 90 minit.

Pertembungan menentang Sabah juga dilihat sebagai medan untuk Selangor membuktikan bahawa perkembangan positif yang dipamerkan sejak awal musim bukan sekadar sementara, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada kejayaan dalam kejohanan utama.

Pan Gon mahu momentum yang sedang dibina menjadi pemangkin kepada satu lagi langkah penting dengan memastikan Selangor menempah tempat di suku akhir Piala FA.

“Bagi kami, amat penting untuk melangkah ke pusingan lapan terbaik Piala FA. Saya percaya momentum yang ada ketika ini mampu menjadikan kita lebih kuat dan bersatu.

“Apa jua situasi sukar yang melanda, kita mesti atasi demi penyokong kita yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tanpa penyokong, misi Selangor tetap membara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved