
PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan perubatan yang menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di kawasan pedalaman.
Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna @zsuzana34, wanita itu mendakwa juruterbang yang terlibat dalam nahas helikopter semalam pernah menerbangkan misi sama bersama anaknya pada bulan lalu.
Menurutnya, anaknya turut berkhidmat dalam FDS bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
“Dia pernah memberitahu saya betapa menakutkannya perjalanan dengan helikopter di kawasan pedalaman seperti ini, terutamanya apabila langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Wanita itu berkata, sebagai seorang ibu, dia sentiasa berasa bimbang setiap kali anaknya berangkat menjalankan misi berkenaan.
Katanya, doktor dan pasukan perubatan perlu berdepan keadaan mencabar ketika menjalankan tugas untuk membantu masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
“Memberikan perkhidmatan kepada penduduk luar bandar tidak sepatutnya bermakna mereka perlu mengorbankan keselamatan diri,” katanya.
Dalam perkongsian sama, dia berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji semula aspek keselamatan membabitkan FDS.
“Saya amat berharap agar KKM segera mengkaji semula piawaian keselamatan, keadaan pesawat, prosedur operasi serta perlindungan yang disediakan kepada semua anggota yang terlibat dalam Perkhidmatan Doktor Udara.
“Dedikasi mereka harus disertai dengan tahap keselamatan dan penjagaan yang setinggi mungkin. Mereka berkhidmat untuk rakyat. Kita juga mesti melindungi mereka yang berkhidmat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu doktor udara bimbang keselamatan misi pedalaman appeared first on Kosmo Online.






