Tapak perkuburan Islam Hulu Semenyih dirancang sejak 2005, atasi kekurangan lot di KL

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 8:06 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tapak perkuburan Islam Hulu Semenyih dirancang sejak 2005, atasi kekurangan lot di KL

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Kerajaan menegaskan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih, Selangor telah dirancang sejak 2005 bagi menangani kekurangan tapak perkuburan Islam di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan yang tular di media sosial berhubung projek berkenaan.

Beliau berkata selain memenuhi keperluan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), projek itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan diperuntukkan bagi tujuan pengebumian penduduk sekitar di Selangor.

Image from: Tapak perkuburan Islam Hulu Semenyih dirancang sejak 2005, atasi kekurangan lot di KL
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. Foto BERNAMA

“Kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di WPKL telah melebihi 70 peratus penggunaan. Sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan sehingga sekitar 2032.

“Justeru, penyediaan tapak perkuburan baharu merupakan keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar.

Katanya, sebagai sebahagian daripada perjanjian, pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja-kerja tanah bagi 104,470 plot kubur Islam WPKL.

Hannah berkata tanah tapak projek itu kekal milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi tapak perkuburan Islam berkenaan kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan bukannya diuruskan mana-mana syarikat.

Mengenai pembinaan jalan pintas dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK pula, beliau berkata kos keseluruhan projek berjumlah RM93.89 juta tidak ditanggung kerajaan, sebaliknya dibiayai pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer itu SILK dibina bagi mengatasi kesesakan trafik sekali gus menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat.

“JWP menegaskan bahawa projek ini telah melalui penilaian teknikal, penarafan nilai (Value Management Lab) serta proses kelulusan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Setiap keputusan dibuat adalah berlandaskan kepentingan awam bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, di samping menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang. Laporan polis telah dibuat bagi mengekang penyebaran maklumat tidak sahih,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved