
SIPITANG: Sebuah tapak penyimpanan minyak terpakai di Sabah Forest Industry (SFI) musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 4.30 petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Calvin Joe Jeffrey berkata setibanya pasukan di lokasi, kebakaran sedang marak dan operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta enam tong buih, menggunakan sumber air daripada jentera bomba.
“Operasi pemadaman turut dibantu sebuah jengkaut milik kontraktor bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman,” katanya.
Kebakaran dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua jam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Menurutnya, dua anggota Polis Diraja Malaysia serta enam kakitangan SFI turut berada di lokasi ketika operasi dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan pada hari sama, Balai Bomba dan Penyelamat Keningau menerima panggilan kecemasan mengenai kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di sebuah kediaman di Kota Ayangan.
Ketuanya, Severinus @ Mohd Nidzam Sinkui berkata pasukan bomba tiba di lokasi pada 7.55 malam dan mendapati bau gas yang kuat memenuhi ruang dapur rumah berkenaan.
“Bunyi desiran gas dikesan dan pemeriksaan mendapati tong LPG mengalami kebocoran,” katanya.
Beliau berkata dalam keadaan ruang dapur tertutup dan dipenuhi gas, mujur penghuni tidak menyalakan api dan ini berjaya mengelakkan risiko letupan.
Pasukan bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian mengalihkan tong gas ke kawasan lapang sebelum melepaskan baki tekanan gas sehingga silinder kosong dan selamat.
Severinus berkata orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berdepan situasi kebocoran gas, termasuk tidak menghidupkan atau mematikan sebarang suis elektrik, kerana percikan kecil boleh mencetuskan letupan.
Katanya, pengudaraan perlu dibuka dengan segera dengan membuka pintu dan tingkap secara berhati-hati bagi membolehkan gas keluar.
“Jika keadaan terkawal, tanggalkan regulator dan bawa tong gas ke kawasan lapang, jauh dari longkang atau kawasan rendah kerana gas berat mudah berkumpul di situ,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penghuni supaya segera mengosongkan premis dan menghubungi talian kecemasan 999 atau pihak bomba bagi tindakan lanjut.



