Taraf saranan Maxis disemak naik kepada 'Beli', TP baharu RM4.17 - MIDF Research
herman
22/08/2024 - 09:37
KUALA LUMPUR 22 Ogos - MIDF Research menaik taraf saranan Maxis Berhad kepada 'Beli' daripada 'Neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM4.17 sesaham berbanding RM3.87 sebelum ini selepas pengumuman keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).
Firma penyelidikan itu berkata, strategi penumpuan jaringan yang berkesan telah memberi kesan positif kepada kumpulan seperti yang dilihat dalam pertumbuhan yang cemerlang bagi hasil tertumpu pengguna mereka.
"Kami telah menaikkan anggaran pendapatan FY24 hingga FY26 sebanyak antara +14.9% dan +23.7% dengan memasukkan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada segmen perusahaan dan pendapatan pascabayar serta kos susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah.
"Susulan perubahan dalam anggaran pendapatan, TP yang diperoleh daripada Aliran Tunai Terdiskaun (DCF) juga telah disemak semula kepada RM4.17 daripada RM3.87 sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, kata MIDF Research, tawaran tetap dan penyelesaian untuk segmen perusahaan menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan ini akan meningkat dengan pesat apabila kumpulan mengembangkan tawarannya seperti menyediakan perkhidmatan sambungan tetap untuk pusat data dan GPU sebagai Perkhidmatan (GPUaaS).
Menurutnya, kedudukan aliran tunai kumpulan juga lebih kukuh akibat pengurusan modal kerja yang cekap dan ini dapat dilihat daripada tindakan yang berhati-hati dalam perbelanjaan modal (capex).
"Capex 2QFY24 telah dikurangkan sebanyak -30.1% tahun ke tahun kepada RM116 juta kerana kumpulan terus berhati-hati dalam pelaburannya. Ini menyebabkan pengurangan capex 1HFY24 sebanyak -25% tahun ke tahun kepada RM222 juta.
"Dengan kadar semasa, capex FY24 penuh mungkin akan berada pada tahap yang sama dengan FY23. Ini juga selaras dengan panduan capex FY24 oleh pihak pengurusan iaitu di bawah RM1 bilion.
"Perbelanjaan modal ini tertumpu pada memperkukuh rangkaian penghantaran, meningkatkan liputan gentian dan mendigitalkan proses dalaman," jelasnya.
Dalam ada itu, MIDF Research berkata, pembayaan dividen 2QFY24 kekal konsisten pada 4 sen sesaham, yang telah menjadi kadar semasa sejak FY23.
"Walaupun aliran tunai operasi telah meningkat dengan ketara, kami melihat kumpulan mengambil pendekatan konservatif dalam pembayaran dividennya kerana kumpulan bercita-cita untuk melancarkan rangkaian 5G kedua.
"Walau bagaimanapun, pada ketika ini, kami berpendapat bahawa kumpulan sudah mempunyai keupayaan untuk kembali kepada pembayaran dividen suku tahunan asal sebanyak 5 sen sesaham," ujarnya. - DagangNews.com





