Tarif Amerika Ke Atas Malaysia Kekal 19% Tetapi Dengan Beberapa Pengecualian

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2025 • 1:41 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Amerika Syarikat dan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan baharu dengan tarif import barangan Malaysia ke Amerika kekal pada kadar 19% dengan beberapa pengecualian dikenakan. Perjanjian ditandatangani Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

Tarif 19% masih lagi sama dengan kadar baharu yang diumumkan Trump pada bulan September lalu. Sebanyak 1,711  barangan buatan Malaysia yang dieksport kini akan dikenakan tarif yang lebih rendah. Pelepasan ini melibatkan eksport ke Amerika bernilai $5.2 bilion (~RM 21.9 bilion) yang bersamaan 12% eksport keseluruhan negara.

image is not available

Produk-produk yang dinyatakan dalam Lampiran III kepada Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025, Pelarasan Tarif Berpotensi untuk Rakan Kongsi Selaras pula akan dikenakan 0% tarif.

Antara yang menerima pelepasan sifar tarif ialah bahan kimia, produk farmaseutikal seperti ibuprofen, buah-buahan tropika termasuk durian, semikonduktor, kelengkapan aeroangkasa, barangan elektronik, kelapa sawit, getah, kayu-kayan dan banyak lagi.

Malaysia pula menyatakan komitmen memberikan akses pasaran istimewa kepada barangan industri dan pertanian AS seperti kenderaan penumpang, ayam, produk tenusu, daging babi, keluli, makanan diproses dan mempermudahkan pendaftaran fasiliti serta pensijilan halal.

Pembangunan sektor mineral kritikal dan nadir bumi turut akan dilakukan menerusi kerjasama syarikat-syarikat A.S. Malaysia bersetuju untuk tidak mengharamkan, atau mengenakan kuota ke atas, eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke A.S serta memastikan tiada sekatan dikenakan ke atas penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat A.S.

Di samping itu Malaysia turut tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat A.S, memperkukuhkan perlindungan harta intelek, fasilitasi kastam dan menyokong pemindahan data rentas sempadan dan moratorium ke atas duti kastam untuk penghantaran elektronik.

Sebelum ini Malaysia telahpun mengesahkan perjanjian komersial pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group, import LNG sehingga bernilai $3.4 bilion, pembelian semikonduktor, dan peralatan pusat data bernilai $150 bilion.

Menurut Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, defisit perdagangan antara Amerika dan Malaysia ialah yang ke-14 terbesar dengan nilai Malaysia mengeksport barangan bernilai $24.9 billon (~RM 105.7 bilion) sepanjang 2024.