
PETALING JAYA: Cadangan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia bakal memberi tekanan kepada eksport negara, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta industri pembuatan yang bergantung kepada pasaran negara itu.
Bagaimanapun, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara tidak semestinya berlaku secara mendadak, sebaliknya bergantung kepada tempoh pelaksanaan tarif, skop produk yang terlibat serta keupayaan pengeksport menyesuaikan strategi perniagaan.
Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, Malaysia perlu melihat perkembangan itu bukan sekadar sebagai cabaran perdagangan, tetapi juga petunjuk perubahan struktur ekonomi dunia apabila AS semakin menggunakan tarif, akses pasaran, teknologi dan rantaian bekalan sebagai instrumen strategi ekonominya.
“Perkembangan terbaharu pada Rabu lalu menyaksikan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) mengumumkan cadangan tindakan di bawah Seksyen 301 yang berpotensi melibatkan tarif sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia, tertakluk kepada pengecualian tertentu.
“Bagaimanapun, cadangan berkenaan belum menjadi tarif menyeluruh yang berkuat kuasa dan tidak bermakna semua produk eksport Malaysia akan serta-merta dikenakan kadar tambahan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, perbezaan antara tarif yang sudah berkuat kuasa, cadangan tarif yang masih dalam rundingan dan kemungkinan tindakan tarif sektoral pada masa hadapan perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan salah tafsir terhadap kesan sebenar dasar perdagangan AS.
“Malaysia mengeksport barangan bernilai kira-kira RM233 bilion ke AS pada 2025, manakala jumlah perdagangan dua hala mencecah sekitar RM367 bilion, sekali gus menjadikan negara itu antara rakan dagang utama Malaysia.
“Terdapat tiga saluran utama yang boleh mempengaruhi ekonomi domestik sekiranya tarif tambahan dilaksanakan, iaitu peningkatan kos eksport, penyusutan pengeluaran serta pelaburan dan kesan limpahan kepada sektor sokongan.
“Tarif yang lebih tinggi boleh menyebabkan harga produk Malaysia menjadi kurang kompetitif di pasaran AS, sekali gus mendorong pengimport mengurangkan pesanan atau beralih kepada pembekal dari negara lain,” katanya.
Malah, Barjoyai berkata, pengurangan permintaan eksport pula boleh menyebabkan pengilang mengecilkan kapasiti pengeluaran, menangguhkan pelaburan pengembangan dan mengurangkan pembelian bahan mentah serta komponen daripada pembekal tempatan.
“Kesan itu turut berpotensi merebak kepada sektor pengangkutan, logistik, pergudangan, pembungkusan dan perkhidmatan profesional yang mempunyai hubungan rapat dengan aktiviti perdagangan antarabangsa.
“Bagaimanapun, prestasi eksport Malaysia masih menunjukkan ketahanan apabila eksport ke AS dalam sembilan bulan pertama 2026 meningkat 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pelaksanaan tarif tambahan sebanyak 18 peratus sekiranya dimuktamadkan boleh meningkatkan harga produk Malaysia di pasaran AS dan mengurangkan daya saing pengeksport tempatan.
“Malaysia mempunyai kebergantungan tinggi terhadap perdagangan antarabangsa dengan sekitar 70 hingga 80 peratus ekonominya berkait dengan pasaran eksport, sekali gus menjadikan perubahan dasar perdagangan negara maju seperti AS penting kepada prestasi sektor luaran negara.
“Peningkatan kos akibat tarif lebih tinggi boleh memberi tekanan kepada pengeksport yang perlu mengekalkan harga kompetitif dalam pasaran yang turut menawarkan produk daripada negara pesaing,” katanya.
Dari segi sektor, beliau berkata industri E&E, semikonduktor, automotif dan pembuatan antara yang terdedah secara signifikan terhadap perubahan tarif.
“Selain itu, industri sarung tangan getah juga perlu diberikan perhatian memandangkan AS merupakan antara pasaran penting bagi produk berkenaan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya AS meningkatkan tarif terhadap sektor terbabit pada masa hadapan, pengurangan permintaan boleh menyebabkan pengeluar berdepan lebihan kapasiti dan pengeluaran.
“Keadaan itu memerlukan syarikat tempatan meneroka pasaran baharu bagi memastikan produk dapat dipasarkan, sekali gus menjana pendapatan untuk menampung kos operasi,” katanya. – UTUSAN
The post Tarif AS bakal beri tekanan kepada eksport negara appeared first on Utusan Malaysia.






