Tarif AS sehingga 25% hanya jejas sentimen jangka pendek, prospek eksport jangka panjang kekal utuh - Apex Securities

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 11:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tarif AS sehingga 25% hanya jejas sentimen jangka pendek, prospek eksport jangka panjang kekal utuh - Apex Securities Image from: Tarif AS sehingga 25% hanya jejas sentimen jangka pendek, prospek eksport jangka panjang kekal utuh - Apex Securities hamden26/11/2026 - 11:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Cadangan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia berpotensi menjejaskan sentimen eksport dalam jangka pendek, namun tidak mengubah prospek jangka panjang sektor pembuatan dan teknologi negara yang kekal menarik, menurut Apex Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur perlu mengambil pendekatan lebih selektif dengan mengutamakan syarikat yang mempunyai daya tahan pendapatan, kepelbagaian pasaran geografi serta pemacu pertumbuhan struktur yang jelas.

 

"Kami melihat cadangan tarif terbaharu itu sebagai faktor penghalang kepada sentimen eksport dalam jangka pendek, namun bukan alasan untuk mengetepikan pelaburan jangka panjang Malaysia dalam sektor pembuatan dan teknologi," katanya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

 

Cadangan tarif Seksyen 301 oleh Washington terhadap 14 rakan dagang, termasuk Malaysia, menandakan kebangkitan semula dasar perlindungan perdagangan AS meskipun Mahkamah Agung sebelum ini memutuskan bahawa tarif berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) adalah tidak sah.

 

Artikel berkaitan: AS cadang tarif hingga 18% ke atas barangan Malaysia, pertimbang kadar 25% jika rundingan tidak memuaskan

 

Apex Securities menyifatkan perkembangan itu sebagai perubahan mekanisme perlindungan perdagangan AS dan bukannya perubahan hala tujunya, apabila Washington menggunakan perundangan perdagangan sedia ada untuk menyasarkan amalan pembuatan tertentu.

 

Firma penyelidikan itu turut berpandangan ketidaktentuan tarif berkemungkinan menjadi ciri struktur persekitaran perdagangan global dan bukannya gangguan sementara.

 

Kadar tarif boleh meningkat sehingga 25%

Cadangan yang diumumkan pada 25 November 2026 itu merangkumi tarif tambahan sehingga 18% ke atas barangan Malaysia selepas mengambil kira duti Seksyen 301 sedia ada, dengan pengecualian bagi produk terpilih.

 

Menurut Apex Securities, kadar tarif yang dipersetujui Malaysia ialah 18%, meskipun kadar siling berpotensi di bawah Seksyen 301 boleh mencecah 25%.

 

Kadar siling itu setanding dengan Indonesia, Thailand, Kemboja dan India, namun lebih rendah berbanding Vietnam sebanyak 35%.

 

Penyerahan maklum balas bertulis perlu dibuat selewat-lewatnya pada 5 Januari 2027, manakala sesi pendengaran oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dijadual bermula pada 25 Januari 2027.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses rundingan, perundingan perdagangan dan pengecualian produk.

 

Reaksi pasaran ekuiti Malaysia

Dari sudut pasaran, Apex Securities menjangkakan ketidaktentuan baharu dalam pasaran ekuiti Malaysia, dengan reaksi awal berkemungkinan lebih dipengaruhi sentimen berbanding faktor asas syarikat.

 

Katanya, ketidaktentuan perdagangan yang berpanjangan boleh memberi tekanan kepada gandaan penilaian saham, khususnya pengeluar yang mempunyai pendedahan hasil ketara kepada AS serta kuasa penetapan harga yang terhad.

 

Sebaliknya, saham berorientasikan domestik dan berkaitan infrastruktur, khususnya sektor utiliti serta syarikat pembinaan terpilih, berpotensi menunjukkan daya tahan lebih baik.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan perbezaan prestasi yang lebih ketara antara saham berikutan tahap pendedahan tarif yang berbeza mengikut sektor dan syarikat.

Dalam sektor teknologi, pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dikenal pasti paling terdedah berikutan peningkatan kos barangan selepas tarif yang berpotensi mengecilkan margin keuntungan.

 

Apex mengenal pasti Genetec Technology Bhd mempunyai pendedahan hasil kepada AS sebanyak 75% hingga 83%, diikuti Greatech Technology Bhd (65% hingga 67%), Unisem (M) Bhd (kira-kira 45%), EG Industries Bhd (kira-kira 81%) dan Aurelius Technologies Bhd (52% hingga 59%).

 

Sektor automotif dan pusat data

Firma penyelidikan itu lebih memihak kepada syarikat yang memiliki teknologi khusus serta terlibat dalam peluasan kapasiti semikonduktor secara struktur berbanding pengeluar EMS tradisional.

 

Dalam sektor automotif, yang turut dikenal pasti oleh USTR, JHM Consolidation Bhd memperoleh kira-kira 56% daripada hasil FY2025 daripada pasaran AS.

 

Sementara itu, kesan tarif terhadap sektor pusat data dilihat secara relatifnya tidak langsung, meskipun Sunway Construction Group Bhd mempunyai pendedahan AS yang ketara, dengan 78% hingga 82% daripada buku tempahannya berkaitan pasaran berkenaan.

 

YTL Power International Bhd pula mempunyai kira-kira separuh daripada kapasiti operasinya yang terdedah kepada AS.

 

Dalam sektor sarung tangan getah, Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada jurang tarif berbanding China, masing-masing sebanyak 24% dan 54%.

 

Hartalega Holdings Bhd dikenal pasti berpotensi mendapat manfaat memandangkan kira-kira 50% daripada hasil FY2024 syarikat itu diperoleh daripada pasaran AS.

 

Bagaimanapun, Apex Securities memberi amaran bahawa pengalihan inventori produk China ke pasaran selain AS berpotensi mengimbangi sebahagian manfaat tersebut dengan memberikan tekanan kepada harga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved