hamden11/11/2026 - 14:48 NOR AZAH MASROM, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik SEDA Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov – Tempoh kelulusan yang panjang, termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang boleh mengambil masa sehingga tiga tahun, menjadi antara halangan utama kepada pelaksanaan projek tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia ketika negara berusaha meningkatkan kapasiti penjanaan bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.
Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Malaysia, Nor Azah Masrom berkata, proses kelulusan yang mengambil masa panjang berpotensi melambatkan pelaksanaan projek, selain cabaran berkaitan pengambilan tanah, pembiayaan dan keperluan sambungan kepada grid elektrik.
Berdasarkan pengalaman beliau dalam pembangunan projek TBB, kerja-kerja pembinaan pula boleh mengambil masa sehingga dua tahun selepas proses berkaitan diselesaikan.
"Pemaju turut perlu mengambil kira fi pihak berkuasa tempatan yang mungkin tidak diperuntukkan sepenuhnya pada peringkat awal perancangan, sekali gus berpotensi meningkatkan kos pembangunan projek," katanya ketika menyertai sesi perbincangan sempena Siri Sektor Bursa Malaysia: Memacu Era AI – Ke Mana Hala Tuju Seterusnya? pada Selasa.
Beliau menyertai sesi panel bertajuk Memacu Ekonomi Digital Malaysia: Tenaga Boleh Baharu dan Hala Tuju Pusat Data, yang dikendalikan Ketua Pasaran Karbon Bursa Malaysia, Dr Wei-nee Chen.
Sesi berkenaan turut menampilkan Pengarah Bahagian Kawal Selia dan Perancangan Pasaran Suruhanjaya Tenaga, Rumaizi Abdul Halim serta Pengarah Perkhidmatan Perniagaan dan Operasi Serantau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noorzita Mohamad Nor.
Penyelarasan awal penting
Menurut Nor Azah, penyelarasan awal antara pemaju dengan agensi berkaitan, selain perancangan projek dan penilaian risiko yang teliti, penting bagi memastikan projek dapat memperoleh pembiayaan serta disiapkan mengikut jadual.
Dalam masa sama, pembangunan tenaga kerja berkemahiran turut menjadi keutamaan bagi menyokong pertumbuhan industri TBB.
Nor Azah berkata, pekerja perlu diberikan latihan dalam aspek pemasangan, reka bentuk, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem tenaga boleh baharu bagi memastikan keupayaan teknikal industri dapat dipertingkatkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek TBB yang menyokong sektor berintegrasikan kecerdasan buatan (AI) memerlukan pemantauan tambahan.
Selain itu, kos tambahan mungkin diperlukan bagi pemantauan kualiti air dan penambahbaikan tanah, khususnya di kawasan yang mempunyai tahap sensitiviti alam sekitar tinggi.
Keupayaan menterjemah projek
Nor Azah berkata, keupayaan menterjemahkan projek yang dirancang kepada projek yang memperoleh pembiayaan, disambungkan kepada grid dan ditauliahkan akan menjadi faktor penting dalam memperluas saluran projek TBB negara.
Usaha itu semakin penting ketika Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu bagi memenuhi keperluan pusat data yang menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah besar.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini membekalkan elektrik kepada 36 pusat data di negara ini, manakala puluhan lagi projek sedang dalam perancangan. - DagangNews.com





