Tarif elektrik: Lumrahnya kenaikan kos dipindah kepada 85 peratus isi rumah, kata Ismail Sabri

LocalPolitics
13 Feb 2025 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
'Semoga Titah Adendum dapat dilaksanakan segera' - Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 85 peratus isi rumah dijangka turut terkesan dengan kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, ini kerana lazimnya, tarif baharu akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna.

"Kerajaan telah menyatakan bahawa 85 peratus isi rumah tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini.

"Kerajaan juga menyatakan bahawa kenaikan ini hanya melibatkan kira-kira 15 peratus golongan maha kaya dan industri.

"Namun saya ingin tegaskan lumrahnya, kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang juga terdiri daripada 85 peratus isi rumah tersebut," katanya ketika Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menambah, tarif asas bagi tahun ini sehingga 2027 dinaikkan secara mendadak, kenaikan sebanyak 14.18 peratus, daripada 39.95 sen/kWh kepada 45.62 sen/kWh.

Justeru beliau membangkitkan persoalan mengenai perancangan kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang akan terus meningkat.

"Apabila diesel naik, pengusaha akan salur kepada pengguna. Kesan tidak langsung, kos barangan akan meningkat. Sekarang rakyat terbeban dengan kos sara hidup dan harga barang akan bertambah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, timbul persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.

Dakwa beliau, walaupun suasana negara terutamanya ekonomi berada pada tahap sebelum pandemik, nilai ringgit sangat tidak stabil.

"Nilai ringgit jatuh pada titik terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu RM4.78 berbanding satu dolar Amerika Syarikat pada 14 Februari 2024 dan kini masih berkisar sekitar RM4.50.

"Ini menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke luar negara.

"Jadi, berapakah nilai pelaburan sebenar yang telah direalisasikan sejak Kerajaan Madani dibentuk pada 24 November 2022?" soal beliau.

Tambah beliau, sehingga hari ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan pertama 2025 sebanyak RM3.5 bilion dana asing bersih sudah ditarik keluar berbanding RM4.2 bilion yang ditarik keluar pada tahun 2024 dan sebanyak RM2.4 bilion ditarik keluar pada tahun 2023.

"Sektor pembuatan ini adalah tulang belakang ekonomi negara dan jika trend ini berterusan, ia mampu menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh jangka panjang jika tidak diatasi dengan segera," katanya.