
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada baru-baru ini telah mengemparkan dunia selepas mengumumkan tarif baharu yang dikenakan negara itu.
Pengumuman yang dibuat pada 2 April lalu itu sekali gus menunjukkan satu perubahan dasar globalisasi daripada pentadbiran AS sebelum ini.
Tarif Trump ini dikenakan hampir pada setiap negara termasuklah Malaysia iaitu sebanyak 24%. Perkara ini pastinya menimbulkan persoalan apakah kesannya terhadap negara ini.
Sebelum itu, bagi yang tidak tahu tarif adalah cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas barang dan perkhidmatan yang diimport dari negara lain.
Isu Tarif Trump, Tengku Zafrul tampil beri penjelasan lebih mudah difahami
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu dengan bahasa yang lebih mudah difahami orang ramai.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Tengku Zafrul meminta orang ramai membayangkan Amerika Syarikat sebagai sebuah pasar raya yang besar.
“Orang AS suka sangat beli barang daripada kedai lain (jenama luar negara) sebab harganya lebih murah berbanding barang yang dibuat USA.
“Jadi bos kedai AS (Donald Trump) marah dan kenakan bayaran yuran masuk (tarif),” katanya.
Harga barang import di AS naik mengikut kadar tarif yang dikenakan
Beliau memberi contoh negara China, China ketika ini dikenakan tarif sebanyak 54%.
Katanya, jika harga sehelai baju buatan China yang dibawa masuk ke AS dahulunya berharga US$100, kini menjadi US$154.
“Bos kedai AS ingat bila sudah mahal macam ini orang AS sudah tidak akan membeli barang dari luar. Syarikat-syarikat AS yang dulu buat kilang di luar negara pun akan balik buka kilang di AS,” katanya lagi.
Apakah kesan tarif Trump ini terhadap ekonomi dunia dan rakyat?
Bagaimanapun, menurutnya, tarif yang diperkenalkan Trump ini akan memberi kesan terhadap rakyat-rakyat di AS sendiri yang berbelanja di sana.
Jelas Tengku Zafrul, ekonomi dunia juga boleh menjadi perlahan kerana permintaan menurun akibat harga barangan yang mahal sekiranya setiap negara mula mengenakan tarif bagi produk-produk yang diimport.
Sebagai contoh, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) turut mengenakan tarif kepada AS selepas AS mengenakan tarif kepada EU yang membawa masuk kereta ke dalam negara itu.
“Malaysia pun kena tempiasnya, kita banyak eksport ke AS. Lebih kurang 16% dari keseluruhan eksport Malaysia. Bila AS kenakan tarif, barang Malaysia di sana juga jadi mahal,” ujarnya.
Pun begitu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa kesan yang dirasai Malaysia adalah tidak seteruk negara-negara jiran lain yang lebih terkesan kerana dikenakan tarif lebih tinggi.
Sebagai contoh, Vietnam dikenakan tarif 45%, sementara Thailand pula 37% dan Indonesia 32%.
Kerajaan berusaha tangani isu tarif, jaga kepentingan ekonomi negara dan rakyat Malaysia
Menurutnya lagi, kerajaan dari dahulu lagi sudah sedar mengenai potensi kenaikan tarif ini, susulan itu kerajaan cuba pelbagaikan pasaran eksport ke negara-negara lain.
“Kita (Malaysia) juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara. Awal tahun ini kita sudah tandatangan CEPA (Comprehensive Economic Partnership Agreement) dengan UAE dan kita juga sudah mulakan semula rundingan FTA dengan EU dan dan Korea Selatan pada tahun lepas.
“Satu lagi pasaran eksport dengan potensi besar ialah Asean. Perdagangan antara negara Asean masih rendah iaitu di bawah 25%. Sebagai Pengerusi Asean 2025, antara fokus Malaysia ialah meningkatkan perdagangan antara negara Asean.
Berkongsi lanjut, beliau menjelaskan bahawa sumber kekuatan Malaysia yang sebenarnya ialah ekonomi tempatan, lebih 60% ekonomi Malaysia dipacu oleh perbelanjaan dalam negara.
Malaysia sebelum ini telah merangka National Geoeconomic Command Centre (NGCC) untuk kuatkan ekonomi negara bagi menangani isu seperti ini.
Pada masa yang sama, Tengku Zafrul juga menyatakan bahawa Malaysia akan terus berunding dengan AS untuk mencari penyelesaian ‘win-win situation’ bagi kedua-dua pihak.
“Yakinlah, kerajaan akan sentiasa memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Tarif Trump jejaskan dunia, Malaysia turut terkesan! 💥🇲🇾 Apa langkah kita hadapi gelombang tarif baru ini? 🤔 TZA MITI PemacuPotensiGlobal MADANIBekerja tarif USA trump perdagangan ekonomi
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengajak negara-negara Asean untuk berunding dengan AS berhubung kenaikan tarif asas itu.
Jelas Anwar lagi, Menteri-menteri Perdagangan Asean akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini (10 April) untuk membincangkan kenaikan tarif kenaikan yang diumumkan AS tersebut.
Malah Anwar menerusi satu hantaran di media sosial berkata, kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah yang tepat, pantas dan tenang untuk menangani tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
“Matlamat kami jelas. Kami mahu mendapatkan resolusi yang menggalakkan yang mengekalkan akses pasaran yang penting, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan golongan pekerja dan perniagaan Malaysia.”
The MADANI government is implementing precise, swift, and calm measures to address the unilateral tariffs imposed by the United States.
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 6, 2025
Our goal is clear. We want to secure a favourable resolution that preserves vital market access, attracts continued foreign investment, and… pic.twitter.com/LJtpcXdu5R



