Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa kepada bayi lelaki yang ditahan jenazah di sebuah hospital swasta memberikan amaran kepada beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan tuduhan dan fitnah ke atasnya untuk menarik balik atau berdepan dengan tindakan saman.
Jelasnya, tuduhan fitnah yang dilemparkan termasuk dakwaan tidak berkahwin merupakan andaian jumud.
Beliau memaklumkan, semakan terhadap sijil perkahwinan anak guamnya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) mengesahkan kesahihah sijil tersebut.
Semasa sesi siaran langsung (LIVE) di TikTok itu juga, pihaknya memberikan tempoh tiga jam kepada pemilik akaun media sosial untuk memadamkan hantaran.
“Kami beri tiga jam (sehingga 12 tengah malam ini) untuk padamkan hantaran atau komen (fitnah).
“Jangan buat andaian jumud. Kami sudah kenal pasti siapa yang buat siaran langsung TikTok dan sebagainya.
“Seperti biasa, kami menerima cemuhan dan sebagainya. Kita tunggu dan lihat, kita tengok nanti siapa yang kena,” katanya.
Dalam pada itu, memetik laporan dari Harian Metro, Ahmad Zaharil berkata pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat mengenai kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak hospital.
Tindakan saman sivil dan jenayah itu katanya mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.
The post ‘Tarik balik tuduhan atau tindakan saman’ – Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar appeared first on The Reporter.



