Tarikh Janji Temu Psikiatri Adalah Berdasarkan Keadaan Pesakit – HKL

19 Jan 2024 • 11:26 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hospital Kuala Lumpur (HKL) tampil membuat kenyataan berhubung isu menunggu janji temu dalam tempoh lama di Klinik Pakar Psikiatri dan Rawatan Mental yang tular baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, HKL berkata pihaknya sedar ketidakpuasan hati seorang pengadu mengenai tarikh janji temu rawatan rakannya yang terlalu lama sehingga mencecah enam bulan.

Tarikh janji temu psikiatri berdasarkan keadaan pesakit

HKL berkata, hasil siasatan mendapati pengadu yang hadir bersama pesakit untuk mendapatkan tarikh janji temu telah merujuk klinik kesihatan terlebih sebelum mendapatkan rawatan lanjut.

“Susulan itu, pesakit telah menjalani pemeriksaan saringan dan tarikh janji temu psikiatri yang diberikan adalah berdasarkan keadaan pesakit,” katanya.

Tambah HKL, pihaknya memandang dan mengambil tindakan serius berkenaan isu-isu membabitkan pengurusan tempoh janji temu lama.

Untuk makluman, setiap pesakit yang dirujuk ke mana-mana klinik pakar akan disaring bagi menentukan kesesuaian tempoh temu janji untuk diberi kepada pesakit.

Terdahulu, seorang individu telah membuat hantaran di platform X dan meminta orang ramai untuk tidak menerima rawatan psikiatri di HKL.

Menurut individu tersebut, dia pernah hadir ke HKL bersama rakannya untuk menerima tarikh janji temu bagi rawatan psikiatri.

Namun begitu, tarikh yang diberikan terlalu lama menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membawa rakannya ke hospital lain.

Sumber: Facebook Hospital Kuala Lumpur KKM, X @thegrxyvibe