
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 November ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 Oktober lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Sarawak daripada Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menerusi surat bertarikh 27 Oktober.
Beliau berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
“Selain tarikh-tarikh penting, mesyuarat khas itu turut membincangkan urusan pengeluaran writ pilihan raya, penetapan hari penamaan calon dan hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi pilihan raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairul Shahril, sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat berkenaan selesai.
Beliau berkata, pembubaran DUN Sarawak dibuat selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Mengikut Perkara 21(4) perlembagaan negeri itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Terdahulu, Mohamad Asfia memaklumkan bahawa surat pemberitahuan pembubaran DUN telah dihantar kepada SPR.
Beliau berkata, pihaknya menerima pengisytiharan pembubaran DUN yang ditandatangani Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada 23 Oktober lalu.
Pada tarikh sama, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan pada 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13. - Getaran, 27 Oktober 2026





