Tarikh tengok anak bulan Syawal petang Khamis ini

Local
17 Mar 2026 • 10:24 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Tarikh tengok anak bulan Syawal petang Khamis ini

KUALA LUMPUR – Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan permulaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 19 Mac di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tersebut dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 19 Mac 2026 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Majlis Raja-Raja turut mempersetujui bahawa kaedah penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab.

Pengumuman rasmi mengenai tarikh Hari Raya Puasa akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam yang sama melalui siaran radio dan televisyen tempatan.

Antara lokasi cerapan anak bulan Syawal yang dikenal pasti ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati di Kuala Selangor; Bukit Jugra di Banting dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam, Selangor.

Selain itu, cerapan turut dijalankan di Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjung, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Di Kedah, lokasi cerapan melibatkan Stesen Cerapan Hilal di Kampung Pulau Sayak serta Menara Alor Setar, manakala di Terengganu ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA di Setiu.

Bagi Kelantan, lokasi yang dikenal pasti ialah Bukit Peraksi di Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling di Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC di Kota Bharu.

Sementara itu di Sarawak, cerapan akan dijalankan di Pusat Falak Miri; Teluk Bandung di Kuching dan Bintulu.

Di Sabah pula, lokasi cerapan adalah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan manakala di Pahang melibatkan Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang di Cameron Highlands serta Menara 188 di Kuantan.

Empat lagi lokasi cerapan ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, Perlis.

View Original Article