
KUALA LUMPUR: Taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Sarawak akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) sebelum ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketetapan itu dibuat sebagai langkah melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Kita tidak mahu kanak-kanak terutamanya terdedah kepada jerebu ini kerana ia boleh menyusahkan mereka dan juga keluarga mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Lesen Memandu B2 Parlimen Santubong, hari ini.
Beliau berkata, arahan berkenaan ketika ini terpakai di Sarawak, namun akan turut dipatuhi di kawasan atau negeri lain sekiranya jerebu semakin meluas, dengan sebarang keputusan penutupan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan arahan rasmi kerajaan negeri atau pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas mengenai nasib ibu bapa yang bekerja sekiranya taska ditutup, beliau berkata perkara itu perlu diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing kerana ia membabitkan arahan di peringkat negeri.
“Bagi kawasan di Semenanjung, pendekatan Bekerja Dari Rumah (BDR) masih dilaksanakan mengikut keperluan, manakala bagi Sarawak ibu bapa perlu menunggu arahan lanjut daripada kerajaan negeri,” katanya.
Pada 12 Ogos lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila mencapai Tahap Sangat Tidak Sihat iaitu mencecah 200, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dan di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.-BERNAMA
The post Taska di Sarawak ditutup jika bacaan IPU cecah 200 appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Jerebu makin buruk, kualiti udara Serian capai bacaan 244](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-21-at-1.34.02-PM-1024x820.jpeg)

