Jerebu Sarawak Bertambah Buruk, 10 Kawasan Catat Bacaan Tidak Sihat 

LocalEnvironment
22 Aug 2026 • 11:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu Sarawak Bertambah Buruk, 10 Kawasan Catat Bacaan Tidak Sihat 

KUCHING - Keadaan jerebu di Sarawak bertambah buruk hari ini apabila sebanyak 10 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan asap dari Kalimantan yang terus bergerak merentasi sempadan.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat 7.30 pagi, Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 191, diikuti Kuching (181), Samarahan (178), Sri Aman (174) dan Sarikei (171).

Sibu pula mencatat bacaan IPU 160, manakala Samalaju, Bintulu dan Mukah masing-masing merekodkan 156. Miri mencatat bacaan 151.

Bukit Rambai di Melaka menjadi satu-satunya kawasan di luar Sarawak yang turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu 140.

Situasi itu berlaku sehari selepas 591 sekolah di bawah 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak diarahkan ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Sekolah terbabit melibatkan kawasan di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, peta jerebu serantau yang dikeluarkan Pusat Meteorologi Khas ASEAN menunjukkan cuaca kering berterusan melanda sebahagian besar kawasan selatan ASEAN, kecuali hujan yang berlaku di timur laut Borneo dan utara Sumatera.

Kesan titik panas yang meluas dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan, manakala titik panas terpencil turut direkodkan di beberapa lokasi lain di rantau selatan ASEAN.

Menurut JAS, kepulan asap rentas sempadan pada tahap sederhana hingga tebal dikesan merentasi Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Dalam pada itu, JAS meningkatkan operasi penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan yang berisiko berlaku pembakaran terbuka, selain terus memantau bacaan IPU.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani kejadian pembakaran terbuka serta keadaan jerebu yang semakin buruk.

Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya. - Getaran, 21 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved